arena

Balotelli belum bersedia

Oleh Agensi

PARIS: Berat badan Mario Balotelli meningkat sebanyak 12 kilogram sebaik kembali menyertai latihan pramusim bersama Nice, dedah laporan akhbar Perancis L’Equipe.

Balotelli, 28, membuat dua penampilan musim ini, satu untuk Nice dan satu lagi buat Itali tetapi kedua-duanya dimasukkan sebagai pemain gantian.

Bekas penyerang Inter Milan dan Liverpool itu dikritik hebat berdasarkan persembahannya pada pertembungan the Azzurri berdepan Poland, minggu lalu, dengan ketua Persatuan Bolasepak Poland (PZPN), Zbigniew Boniek paling lantang menyuarakan pendapatnya.

“Balotelli nampak tidak begitu bersedia untuk perlawanan ini dari segi bentuk fizikalnya,” kata Boniek kepada stesen penyiaran RAI.

“Ia adalah kesilapan sendiri. Pemain profesional tidak boleh menampakkan bentuk fizikal dalam keadaan sebegitu, dia tidak berguna untuk sesiapapun.”

Penyerang Itali itu kemudiannya diketepikan untuk aksi Liga Negara-Negara seterusnya apabila Itali bertandang ke Portugal, dan L’Equipe melaporkan dia masih berada di luar bentuk badan sepatutnya.

Balotelli menjalani hukuman penggantungan tiga perlawanan sejak permulaan musim, bermakna penampilan sulungnya sekadar hadir ketika Nice mencatat kemenangan 1-0 ke atas Lyon pada 31 Ogos lalu.

Bos Nice, Patrick Vieira mempertahankan isu kecergasannya: “Anda sendiri melihat yang dia belum bersedia beraksi 90 minit.

“Masih banyak kerja yang perlu dilakukannya. Kita semua perlu bersabar dengannya, kerana dia tidak menyertai sesi latihan pra-musim.”

Balotelli yang kini mencapai berat 100kg pada awalnya dijangka berhijrah ke Marseille pada musim panas lalu tetapi perpindahan itu gagal direalisasikan.

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 11:02am
d