arena

Perancis hampakan skuad negara

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Skuad skuasy berpasukan wanita terus dirundung malang apabila terkandas di suku akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia di Dalian, China walaupun diletakkan antara satu daripada empat pasukan terbaik untuk berentap di separuh akhir.

Tumpas 1-2 kepada Perancis di suku akhir hari ini mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Issy-les-Moulineaux, Perancis apabila tumbang 1-2 kepada Hong Kong, walaupun berjaya muncul juara Kumpulan C.

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang diharapkan mampu menyumbang mata sulung, tersungkur di tangan pemain nombor lima dunia, Camille Serme 9-11, 2-11, 5-11.

Harapan untuk melihat pemenang pingat perak Sukan Asia, S Sivasangari mengikat kedudukan tidak kesampaian. Walaupun dia bermula baik dengan memenangi set pertama, namun tumpas 11-8, 8-11, 8-11, 8-11 kepada Coline Aumard.

Low Wee Wern yang turun selaku pemain ketiga berjaya meraih mata saguhati selepas menumpaskan Melissa Alves 11-7, 11-8, 11-0, namun kemenangan itu tidak memberikan sebarang makna dan sekadar pelengkap jadual.

Kekalahan ini menyaksikan skuad berpasukan wanita negara hanya akan meneruskan saingan untuk perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan menentang Amerika Syarikat, esok.

Pada saingan edisi 2016, skuad wanita negara menamatkan saingan di tempat keenam, manakala juara milik Mesir, diikuti England selaku naib juara.

Untuk rekod, skuad wanita negara hanya sekadar meraih gangsa di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 selepas tumpas 0-2 kepada India dalam saingan separuh akhir.

Menanti Perancis di separuh akhir ialah England yang sebelum itu mengetepikan Kanada 2-1, manakala dua lagi aksi suku akhir menyaksikan Mesir mengalahkan New Zealand 2-1 dan Hong Kong menundukkan Amerika Syarikat 2-1.

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 9:45pm
d