arena

Kita jumpa Reds wahai anak buahku, bangun!

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menuntut peningkatan sikap pemainnya bagi pertembungan berdepan Liverpool, malam ini selepas menuduh mereka melayan kunjungan terbaru ke Watford seperti bersiar di taman.

Permulaan 100 peratus awal musim Spurs musnah di Watford apabila mereka kecundang 1-2, kekalahan yang menyebabkan Pochettino berang dan menyifatkan persembahan pasukannya seperti aksi ‘testimoni’.

“Jika anda menonton perlawanan dengan Watford, anda boleh melihat kami bermain begitu perlahan sejak wisel permulaan,” kata pengendali dari Argentina itu kepada pemberita menjelang pertembungan penting Liga Perdana Inggeris minggu ini.

“Ia seakan kami berasa ‘OK, ia tengah hari yang santai di Watford, Elton John berada di tempat duduk penonton...’ mereka beraksi seperti sedang bersantai di taman dengan anak saya,” katanya merujuk penyanyi legenda itu yang juga presiden kehormat Watford.

Liverpool yang berbelanja besar pada musim panas lalu pastinya menjanjikan ujian getir selepas menang semua empat perlawanan dan Pochettino berkata, beliau perlu menekan butang kecemasan sekiranya pemain terus mengulangi aksi sama seperti di Watford.

Ditanya sama ada beliau akan melakukan pertukaran pemain pada babak pertama, katanya: “Jika esok (hari ini) kami bermain sama, bukan saja mungkin akan menukar pemain, malah saya akan bercakap melalui telefon dengan berkata: ‘Houston, kami berdepan masalah!”

Spurs begitu cemerlang sejak di bawah Pochettino apabila menamatkan saingan Liga Perdana dalam kelompok tiga terbaik dalam tempoh tiga musim terakhir.

Namun masalah paling ketara yang terus gagal diatasinya adalah Tottenham kekurangan naluri pembunuh untuk memenangi liga dan ia terbukti pada pertemuan dengan Watford.

“Untuk memenangi perlawanan, kami perlu fokus bagi 95 minit perlawanan. Jika tidak, anda perlu membayar harga yang mahal dalam bola sepak. Jika anda tidak menghormati lawan, anda akan terkorban.

“Itu intipati paling penting dalam bola sepak. Apabila bertemu lawan lemah, kadangkala pemain boleh keliru. Cara paling betul menghormati lawan adalah menjaringkan satu, dua, tiga, empat, lima atau 10 gol.

“Bermain perlahan, berfikir 2-0 atau 3-0 sudah memadai dan menunggu hingga tamat perlawanan, itu sikap tidak menghormati lawan.”

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 9:46am
d