arena

MFL tubuh syarikat pengurusan bebas pengadil profesional

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bakal membentuk sebuah syarikat pengurusan bebas pengadil profesional sebagai inisiatif menambah baik kualiti dan mutu pengadilan dalam perlawanan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) pada masa depan.

Menerusi satu kenyataan, MFL menjelaskan, idea untuk membentuk syarikat itu adalah berdasarkan sebuah kajian kes iaitu ‘Professional Game Match Officials Limited’ (PGMOL) yang digunakan dalam pengurusan pengadilan di beberapa liga bola sepak dunia.

PGMOL digunakan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan struktur yang hampir sama turut dipakai dalam dua liga di Asia iaitu Liga Jepun dan Liga Korea.

“Hasil kajian MFL mendapati perancangan ini mampu menyelesaikan isu berkenaan mutu pengadilan yang kurang baik dengan segera dan mampu membuka peluang kemasukan pengadil tempatan menjadi pengadil profesional. 

“Dalam jangka masa singkat iaitu sementara menunggu kemahiran pengadilan tempatan ditambah baik, struktur ini juga mampu menyokong penggunaan pengadil dari luar negara.

“MFL sudah memaklumkan rancangan ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Mereka akan dijemput untuk bertemu pihak daripada England, Jepun dan Sepanyol untuk memastikan mereka memahami secara menyeluruh arah tuju dan faedah yang mampu dicapai oleh struktur baharu ini.

“MFL akan sentiasa memaklumkan perkembangan berkenaan perancangan ini dalam masa terdekat, mengenai misi dan visi pembentukan syarikat ini dan mengharapkan ia dapat berjalan lancar selepas dilaksanakan,” kata MFL.

Sebelum ini, Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertikaikan kredibiliti pengadil tempatan yang dianggapnya ‘lemah’ berbanding pengadil dari negara lain.

Jelas pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, insiden pergaduhan membabitkan aksi Kumpulan B antara Johor dan Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak di padang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Isnin lalu, boleh dielak jika pengadil bertindak lebih tegas.

Sementara itu, FAM menyambut baik inisiatif MFL berhubung penggunaan pengadil profesional bagi menambah baik kualiti dan mutu pengadilan Liga M pada masa hadapan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan program pembangunan pengadil profesional ini sememangnya selaras dengan agenda badan induk itu.

“Ini adalah satu daripada 30 perkara yang terkandung dalam teras kepimpinan dan harapan yang diumumkan Datuk Hamidin Mohd Amin selepas dipilih sebagai Presiden FAM pada 14 Julai lalu.

“Jadi, FAM tiada masalah dan bersedia untuk bekerjasama rapat dengan MFL bagi membincangkan dan memperhalusi perkara ini secara lebih terperinci terutama daripada segi teknikal dan pelaksanaannya bagi memastikan isu mutu pengadilan ini dapat diselesaikan,” katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 3:57pm
d