arena

'Pemain ke-12' menanti Lang Merah

Oleh Rodly Fadly

KUALA LUMPUR: Perancang tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat berkeyakinan tinggi pasukan itu mampu mengejutkan Kedah untuk menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia, apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan, malam esok.

Tegasnya, kelebihan beraksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, rekod pertemuan musim ini serta semangat pemain yang sedang membara adalah antara faktor yang mampu melonjakkan kejayaan The Red Warriors (TRW).

“Saya yakin stadium akan ditawan penyokong Kelantan malam esok kerana ini adalah perlawanan hidup mati bagi kami. Faktor ‘pemain ke-12’ ini sudah pasti akan melonjakkan lagi semangat kami untuk mencapai kemenangan.

“Stadium ini juga terbukti memberi kelebihan kepada kami apabila mengalahkan JDT (Johor Darul Ta’zim), Pahang dan Selangor, musim ini. Malah, kami hanya tewas tipis 0-1 kepada Kedah pada aksi liga di stadium ini.

“Kekalahan itu berjaya kami tebus apabila mengalahkan mereka 2-1 dalam liga di Alor Setar serta seri 0-0 di sana pada perlawanan pertama Piala Malaysia,” katanya.

Berdasarkan rekod ini, Nik Akif menegaskan, Kedah bukanlah pasukan yang tidak boleh ditewaskan.

“Saya memiliki keyakinan 60 hingga 70 peratus bahawa kami boleh mengalahkan mereka malam esok,” ujar Nik Akif.

Kedah yang kini menduduki tangga kedua Kumpulan C hanya memerlukan seri untuk mara ke suku akhir sedangkan Kelantan yang mengumpul lima mata memerlukan kemenangan selesa untuk memintas lawannya itu.

Pada masa sama, mereka bergantung kepada keputusan perlawanan MIFA dengan JDT untuk menentukan slot ke suku akhir. Ketika ini, semua pasukan di dalam Kumpulan C masih berpeluang untuk layak ke saingan kalah mati.

“Ia memang perlawanan yang sukar, tetapi dengan semangat dimiliki pemain Kelantan sekarang, segala-gala berkemungkinan. Apa yang penting, penyerang menjaringkan gol dan pertahanan pula jangan bolos,” katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 4:22pm
d