arena

Tak pandang mudah Pahang...

Oleh Ryan Stanley

KOTA KINABALU: Sabah akan merehatkan beberapa tonggak utamanya pada aksi terakhir kumpulan D Piala Malaysia bertemu Pahang di Stadium Likas, malam esok.

Pengendalinya, Jelius Ating berkata, tindakan itu bukan kerana menganggap aksi terbabit tidak penting, sebaliknya beberapa pemain utama mengalami kecederaan.

Pada masa sama, mereka juga mahu mengelak pemain yang telah mengutip kad kuning digantung perlawanan pada aksi suku akhir - jika mengulangi kesalahan yang sama malam esok.

"Saya mungkin merehatkan Jipun (Rawilson Batuil) dan Mohd Azzizan (Nordin) yang baru kembali dari menyertai skuad negara, baru-baru ini.

"Randy Baruh pula akan direhatkan bagi mengelak dia mengutip kad kuning seterusnya digantung perlawanan pada aksi suku akhir nanti," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jelius berkata, Maxsius Musa juga mungkin direhatkan kerana mengalami sakit perut, namun bergantung kepada keadaan kesihatannya, esok.

"Walaupun kita sudah mengesahkan kedudukan tangga teratas kumpulan D serta layak ke suku akhir, ia bukan bermakna kita memandang mudah perlawanan dengan Pahang.

"Kita perlu mengekalkan rentak baik seterusnya cuba mencatat kemenangan bagi mengekalkan momentum untuk aksi suku akhir," katanya.

Sementara itu, pengurus skuad Sang Badak, Datuk Juil Nuatim, berharap pemainnya tidak memandang mudah cabaran Pahang walaupun mereka berjaya mengikat pasukan itu di gelanggang lawan, sebelum ini.

"Saya tidak mahu pemain bermain sambil lewa kerana menganggap aksi esok tidak penting, ia bukan cara Sabah, kita mahu mencatat kemenangan.

"Kemenangan pada malam esok akan memberi kita lebih motivasi menghadapi saingan suku akhir nanti. Pahang sebuah pasukan yang kuat tetapi saya percaya kita mampu mengatasi mereka," katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 6:59pm
d