arena

Elly pecah rekod 10 tahun

Oleh Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat

TAPAH: Sebelum ini, Elly Cascandra Engelbert hampir bersara berikutan kecederaan yang menghantuinya, namun atlet angkat berat wanita Sabah ini mengetepikan kesakitan bahu yang dialaminya untuk memenangi dua pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak dan sekali gus membaiki rekod 10 tahun kategori bawah 53 kilogram clean and jerk wanita di Dewan Merdeka, Tapah, di sini.

Atlet kelahiran Papar, Sabah itu membuat angkatan 72 kilogram (kg) dalam acara snatch untuk memenangi emas pertamanya, sebelum mencatatkan 92 kg untuk memenangi emas acara clean and jerk, sekali gus membaharui rekod atlet Kelantan, Raihan Yusof (90 kg) yang dilakukan pada temasya 2008 Terengganu. 

"Baru-baru ini saya mengalami kecederaan di bahu selepas pulih daripada kecederaan belakang tahun lalu.

"Saya sudah terfikir untuk bersara pada tahun lalu disebabkan kecederaan ini, tetapi jurulatih dan keluarga menasihati supaya tidak berputus asa. Jadi, saya hadiahkan pingat emas ini dan juga rekod yang saya cipta buat mereka yang selalu percayakan saya," katanya, hari ini.

Elly yang berumur 18 tahun itu berkata, kejayaannya pada penampilan ketiga di SUKMA adalah pencapaian terbaik buatnya selepas hanya memenangi dua pingat gangsa pada temasya 2016 di Sarawak dan dua pingat perak pada edisi 2014 di Perlis.

"Kejayaan dua pingat emas kali ini tentunya menjadi penyuntik semangat untuk kekal aktif dalam sukan ini dan saya akan cuba terus membaiki diri dengan bekerja lebih keras," katanya.

Penuntut Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu berkata, dia memasang impian untuk memenangi pingat Sukan Komanwel dan juga mahu bertanding pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Pingat perak acara snatch bawah 53 kg menjadi milik atlet Terengganu, Nurul Syafiqah Azmi dengan angkatan 64 kg dan gangsa dimenangi Nurul Ain Husna Che Mohd Nor dari Perlis (63 kg), sementara pemenang pingat perak clean and jerk dimenangi Nurul Ain Husna (82 kg) dan gangsa dimenangi Nurul Syafiqah (81 kg).

INFO:

Nama: Elly Cascandra Engelbert

Umur: 18 tahun

Asal: Papar, Sabah

Kontinjen: Sabah

Sukan: Angkat berat

Kategori: Bawah 53kg

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 7:42pm
d