arena

Pemain tenis lelaki ramai hempas reket

Oleh AFP

LOS ANGELES: Pemain tenis lelaki lebih tiga kali ganda didenda atas sikap berang dan menghempas raket berbanding pemain wanita, lapor akhbar New York Times, hari ini.

Sebanyak 1,517 denda dikenakan terhadap pemain lelaki berbanding 535 denda yang dikeluarkan kepada pemain wanita berdasarkan data yang dikumpul oleh pegawai kejohanan Grand Slam dari 1998 hingga 2018.

Angka yang diperoleh Times itu menunjukkan pemain lelaki menerima 649 denda kerana merosakkan raket berbanding 99 wanita dalam puluhan ribu permainan di empat Grand Slam sejak dua dekad lalu.

Pemain lelaki juga didenda 344 kali berbanding 140 atas kesalahan ‘yang boleh didengar’ dan 287 berbanding 67 kerana kelakuan yang tidak mempunyai semangat kesukanan.

Minggu lalu, Serena Williams menuduh pengadil Carlos Ramos sebagai ‘penipu’ dan ‘pencuri’ selepas dia didakwa melakukan kesalahan lisan ketika final Terbuka Amerika Syarikat menentang pemain Jepun, Naomi Osaka.

“Hanya kerana saya seorang wanita anda mahu merampasnya daripada saya?” kata Serena kepada pengadil kejohanan, Brian Early. “Ini tidak betul.”

Pada sidang media selepas perlawanan, Serena menggandakan dakwaannya dengan menyatakan isu itu berat sebelah apabila dia dikenakan hukuman.

“Saya pernah dengar pemain lelaki menggelar pengadil dengan beberapa gelaran lain. Saya di sini untuk memperjuangkan hak wanita dan kesamarataan wanita... dan bagi saya untuk memanggil ‘pencuri’ dan untuknya mengambil perlawanan itu, ia menjadikan saya seperti seksis,” katanya.

“Beliau tidak pernah merampas satu perlawanan daripada pemain lelaki kerana menggelarnya sebagai pencuri. Bagi saya, ia tidak masuk akal.”

Serena juga menghempas raket dan mengancam bagi memastikan pengadil dari Portugal itu tidak bertugas pada perlawanannya akan datang pada set kedua yang menyaksikan dia tewas 2-6, 4-6 di tangan Naomi.

“Anda tidak lagi akan berada di gelanggang saya beraksi selagi anda bernyawa,” katanya ketika itu. “Anda penipu. Bila anda akan memohon maaf kepada saya?”

Ia bukan kali pertama Serena bersikap sedemikian pada Terbuka Amerika Syarikat. Pada 2009, dia enggan meminta maaf selepas mengugut untuk memasukkan bola ke dalam tekak penjaga garisan.

Awal tahun ini pada kejohanan Indian Wells, Serena menengking seorang wartawan wanita di kawasan rehat pemain kerana menanyakan soalan pada satu sidang media mengenai pengecualian penggunaan terapeutik.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 11:36am
d