arena

PDRM silap langkah

Oleh Syafiq Aznan

KESILAPAN individu menjadi punca PDRM ‘terkorban’ di tangan PKNS FC pada aksi penutup Kumpulan B Piala Malaysia malam tadi.

Situasi itu diakui pembantu jurulatihnya, Mohd Fauzi Pilus yang melihat pasukannya tidak mampu mencetus kebangkitan terutamanya selepas semangat mereka direntap susulan gol pertama seawal minit ketiga.

“Kami dibolosi gol awal kerana kesilapan pemain yang menghantar bola ke belakang dan kemudiannya, kami dibolosi sekali lagi juga hasil kesilapan pemain yang kehilangan bola di kawasan tengah.

“Jadi, selepas dibolosi dua gol, sudah tentu sukar untuk pemain bangkit apatah lagi bertemu pasukan sebaik PKNS,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, skuad The Cops menutup kempen Piala Malaysia musim ini tanpa sebarang kemenangan apabila tumbang 0-5 di tangan juara Kumpulan B, PKNS.

Keputusan itu menyaksikan PDRM hanya mampu meraih satu mata daripada enam perlawanan dan mencipta rekod tidak diingini apabila dibolosi 25 gol dalam saingan peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, Fauzi menjelaskan permainan positif tetap berjaya dipamerkan anak buahnya meskipun terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah.

“Kami tetap meneruskan gaya permainan menyerang kerana kami tidak rugi apa-apa. Beberapa peluang dapat dicipta namun ia gagal disudahkan dengan baik.

“Malah, pemain import yang diturunkan juga gagal memperagakan aksi seperti yang diharapkan,” katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 12:40pm
d