arena

Shahidan boleh selamatkan PFA

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

DATUK Seri Shahidan Kassim bersedia mengambil alih Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) selepas menyatakan keinginan untuk melihat kembali pasukan itu menjulang piala dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, hingga hari ini beliau masih menunggu pelawaan daripada persatuan bola sepak negeri itu bagi mengisi jawatan presiden yang dikosongkan bekas Ahli Parlimen Kangar, Ir Shaharuddin Ismail.

“Tiada siapa yang jumpa saya dan masing-masing hanya ceritakan masalah saja kepada media mengenai kemelut yang melanda.

“Kalau mereka (PFA) jumpa, sudah pasti saya akan kembali menerajui bola sepak Perlis malah sudah bersiap sedia sepanjang masa,” katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Shahidan berkata, kesungguhannya untuk kembali menerajui PFA bukan angan-angan atau omong kosong.

“Ini juga sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional (BN) Perlis iaitu untuk mengembalikan kegemilangan Singa Utara dalam saingan Liga Malaysia.

“Walaupun kini Singa Utara sedang berdepan kemelut, kami akan selesaikan ia satu-persatu dengan berhemah,” katanya.

Sebelum ini PFA berdepan kemungkinan untuk dibubarkan selepas persatuan itu belum menjelaskan bayaran gaji pemain yang tertunggak sebanyak RM461,500 sejak April lalu.

Pemangku Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan berkata, ada pemain yang mula meninggalkan kem latihan selepas beberapa bulan beraksi tanpa bayaran gaji.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 2:14pm
d