arena

'Perlu lebih yakin dan berani'

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Jika skuad 2014 diperkuatkan deretan pemain berbakat, kini skuad 2018 kendalian Lim Teong Kim lebih menekankan aspek kekuatan berpasukan bagi menghadapi Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 16 tahun (B-16), bermula Khamis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, tanggapan sesetengah pihak bahawa skuad B-16 tahun adalah generasi emas negara, beliau lebih mempercayai pemain skuad 2014 sebenarnya lebih berkualiti dan memiliki bakat semulajadi terbaik.

Katanya, ia dapat dibuktikan apabila skuad kendalian S Balachandran ketika itu hampir layak ke Piala Dunia Remaja sebelum mereka tewas tipis 2-1 kepada Australia di suku akhir yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Malah, nama-nama seperti R Kogileswaran (Pahang), Muhammad Haziq Nadzli (JDT) dan Najmuddin Samat (JDT III) antara bintang muda yang lahir daripada skuad itu.

“Skuad S Balachandran yang terkandas di suku akhir pada tahun 2014 pada hemat saya adalah generasi pemain yang lebih berbakat.

“Skuad kendalian Teong Kim pula lebih banyak bergantung kepada gerakan berpasukan dan mempunyai disiplin taktikal yang tinggi. Tetapi masalah pasukan ini ialah keyakinan diri. Mereka perlu lebih yakin dan berani untuk bersaing dengan pasukan seperti Jepun dan Korea Selatan.

“Mereka harus mengelak daripada sindrom ‘bunuh diri’ seperti yang terjadi ketika tewas kepada Jepun ketika kelayakan AFC tahun lalu,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Bagaimanapun, Safirul yakin skuad ini mempunyai ramuan tersendiri dengan sentuhan ‘ala Jerman’ Teong Kim yang pernah menjadi jurulatih skuad remaja Bayern Munich selama 12 tahun dengan melahirkan bintang bola sepak dunia, Thomas Muller.

Jelasnya, skuad kali ini turut memiliki jentera serangan cukup ampuh yang terdiri daripada tiga pemain - Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Amirul Azzim dan Muhammad Najmuddin Akmal.

“Pasukan ini mempunyai tiga pemain serangan yang amat pantas dan berbakat besar. Luqman Hakim, Amirul Azzim dan Najmuddin baru berusia 15 tahun. Sekiranya mereka berada pada prestasi terbaik, mereka boleh merobek pertahanan mana-mana pasukan kebangsaan di Asia,” katanya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen berdepan Tajikistan pada Khamis ini, diikuti aksi menentang Thailand tiga hari kemudian dan perlawanan terakhir bertemu Jepun pada 26 September.

Ketiga-tiga perlawanan itu dijadual berlangsung pada jam 4.40 petang di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 6:49pm
d