arena

Aksi mendebarkan Terengganu, Kedah

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pertemuan Terengganu dengan Kedah dalam aksi separuh akhir bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak malam esok pasti menjanjikan saingan sengit seperti ulangan final Piala Presiden musim ini.

Saingan final Piala Presiden itu yang memihak kepada skuad dari Pantai Timur yang berjaya merangkul kejuaraan dengan kemenangan 2-1 namun masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Hal ini diakui pengurus skuad Terengganu, Mohd Sabri Abas yang menyatakan kekuatan kedua-dua pasukan adalah seimbang dan mempunyai peluang untuk mara ke final.

Bagaimanapun Mohd Sabri berkata, biarpun sukar untuk mara ke final, beliau tetap yakin anak buahnya mampu mengulangi pencapaian cemerlang menundukkan pasukan itu sebagaimana aksi final Piala Presiden sebelum ini.

“Saya jangka pertemuan malam esok sengit kerana kekuatan masing-masing adalah seimbang di semua posisi selain aksi berkenaan boleh dikatakan mengulangi perlawanan akhir Piala Presiden kerana kedua-dua pasukan membariskan pemain yang sama dalam SUKMA di Perak ini.

“Saya ramalkan pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan muncul sebagai pemenang dan seterusnya layak ke final bertemu sama ada Perak atau Sabah, ” kata Mohd Sabri yang mahukan pemainnya mampu mengulangi pencapaian muncul juara SUKMA pada 2010 di Melaka.

Mengenai ketiadaan tiga pemain tonggak yang digantung tiga perlawanan kerana terbabit dengan pergaduhan dengan skuad Johor dalam aksi peringkat kumpulan, Mohd Sabri berkata ketiadaan pemain berkenaan tidak menjejaskan persiapan pasukannya.

“Biarpun tidak dapat menurunkan tiga pemain tonggak iaitu Mohammad Rahmat Makasur, Shafawi Mohamad dan Muhammad Fakrul Wahid, pemain gantian juga mempunyai keupayaan yang setanding dengan tiga pemain itu,” kata Mohd Sabri.

Semalam tiga pemain itu digantung oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana terbabit dengan pergaduhan ketika aksi dalam peringkat kumpulan bertemu Johor.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 9:08pm
d