arena

Misi Pochettino pacu Spurs

Oleh AFP

LONDON: Tottenham membuka kempen Liga Juara-Juara di Inter Milan, awal pagi Rabu ini dengan misi melenyapkan keraguan terhadap keupayaan mereka memenangi gelaran utama.

Dipenuhi deretan bintang muda dinamik selain mendapat sentuhan pengendali berkarisma, Mauricio Pochettino, Spurs tampak mempunyai segala bahan yang diperlukan untuk mencipta kejayaan.

Malah, Tottenham amat ampuh apatah lagi sembilan pemain mereka muncul dalam kalangan empat pasukan yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018, dengan senarai itu tidak termasuk tonggak utama Christian Eriksen dan Son Heung Min.

Bagaimanapun, sejak Pochettino mengambil alih pada Mei 2014 banyak perubahan yang dibawanya termasuk pasukannya tampil dengan gaya permainan menghiburkan.

Tanpa sebarang trofi kejuaraan sejak menjulang Piala Liga 2008, Tottenham berada dalam bahaya menjadi antara kelab Eropah yang gagal, dakwaan yang membimbangkan Pochettino dan pemainnya.

Pada usia ketika Jose Mourinho dan Pep Guardiola sudah mengukuhkan status mereka sebagai pengurus terbaik dunia, pengendali berusia 46 tahun itu masih tercari-cari trofi sulungnya.

Tampil musim ini dengan pemain muka sama selepas tidak membuat sebarang pembelian menyebabkan Pochettino mempunyai pilihan pemain yang lebih terhad dan hasilnya persembahan mereka mudah dibaca.

Apabila kemenangan 3-0 ke atas Manchester United memastikan Tottenham meneruskan rekod sempurna, ramai pengkritik mula menjadikan mereka sebagai pencabar utama kepada Manchester City.

Namun beberapa hari kemudian, sebaliknya berlaku apabila mereka membenarkan Watford bangkit mencatat kemenangan 2-1 sebelum kecundang 1-2 kepada Liverpool, Sabtu lalu sekali gus membuatkan Pochettino naik angin.

“Secara realitinya kami perlu menunjukkan permainan yang lebih baik bagi perlawanan besar seperti ini sekiranya kami mahu menjadi pilihan dan akhirnya memenangi beberapa kejuaraan,” kata Pochettino. - AFP

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 12:21pm
d