arena

The Cops tetap teruskan 'survival'

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Perdana, PDRM kemungkinan akan dibarisi keseluruhan anggota polis bagi meneruskan ‘survival’ dan kekal bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Pembantu jurulatihnya, Mohd Fauzi Pilus tidak menolak perancangan itu seperti yang pernah dilaksanakan pasukan ATM sebelum ini jika pasukan itu terus bergelut mendapatkan dana.

“Memang kita ada kemungkinan ke arah itu (guna anggota polis sebagai pemain) tetapi saya yakin dengan pemain yang sudah lama dengan pasukan ini serta beberapa pemain yang sedang dipantau.

“Kita juga ada pasukan sokongan yang bermain dalam liga domestik, jadi sekiranya kita kekurangan belanjawan dan tidak ramai penaja yang masuk, kita sudah bersedia dengan perancangan lain,” katanya.

Kenyataan Fauzi itu dilihat mampu memberi bayangan betapa skuad ‘The Cops’ itu akan terus kekal bersaing dalam kancah Liga Perdana musim hadapan meskipun berdepan masalah dalaman pada musim ini.

Mengulas lanjut mengenai masa depannya bersama pasukan itu, Fauzi mengakui dia sedia untuk terus mengendalikan pasukan itu jika pengurusan memberi kepercayaan kepadanya.

“Saya terbuka dan tiada masalah untuk terus bersama PDRM. Saya sentiasa ada untuk memberi sokongan dan akan cuba menerapkan corak permainan yang lebih menarik pada musim hadapan.

“Berhubung dana, itu bergantung kepada pengurusan dan biarlah mereka yang menguruskan hal sedemikian,” katanya.

Sebagai rekod, skuad yang sebelum ini dibimbing Zulhamizan Zakaria itu menamatkan saingan di tangga kelima Liga Perdana selepas menghimpun 29 mata menerusi lapan kemenangan, lima seri dan tujuh tewas serta menjaringkan 28 gol namun dibolosi 31 gol.

Bagi saingan Piala FA, mereka tersingkir seawal pusingan kedua apabila tewas 1-3 menerusi sepakan penentuan penalti di tangan Pulau Pinang selepas kedudukan masa sebenar terikat 2-2.

Pencapaian di saingan Piala Malaysia menyaksikan mereka mencatat rekod yang tidak diingini apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam enam perlawanan dan turut dibolosi 25 gol sepanjang kempen peringkat kumpulan.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 4:04pm
d