arena

Hamilton, Vettel makin 'terpisah'

Oleh AFP

SINGAPURA: Bos Mercedes, Toto Wolff menyifatkan kejayaan menakluk ‘litar berhantu’ di Grand Prix (GP) Singapura sebagai istimewa tetapi menegaskan pemburuan merebut kejuaraan dunia Formula Satu (F1) belum berakhir di sebalik kemenangan Lewis Hamilton.

Pelumba Britain itu merakam kemenangan bergaya di sini, semalam sekali gus menjarakkan kedudukan di puncak kejuaraan kepada 40 mata di depan pencabar utamanya, Sebastian Vettel daripada Ferrari.

Hamilton yang bermula di petak pertama mendominasi sepenuhnya perlumbaan untuk meraih kemenangan keempat daripada lima perlumbaan terakhir dan meninggalkan Ferrari - yang tampak seperti memiliki jentera lebih pantas - menggaru kepala berbaki lima pusingan.

Wolff bagaimanapun menegaskan prestasi baik pasukan itu bukanlah satu misteri tetapi ia disebabkan oleh kerja keras kru di ibu pejabat dan litar lumba.

“Singapura menjadi litar berhantu bagi kami sejak beberapa tahun, jadi perasaannya cukup istimewa apabila kembali ke sini dan memenangi perlumbaan,” kata Wolff dengan seorang lagi pelumbanya, Valtteri Bottas meraih kedudukan keempat.

Keputusan itu turut menyaksikan Mercedes mengungguli kedudukan pengeluar dengan kelebihan 25 mata di depan Ferrari.

“Keseluruhan pasukan bekerja keras untuk memahami jentera dan mara selangkah ke depan, terutama selepas kekalahan kami di Spa. Jadi keputusan ini menjadi petunjuk yang kerja keras kami berbaloi,” kata Wolff.

Hamilton turut memberi ucapan terima kasih istimewa kepada kru yang berada di ibu pejabat pasukan itu ketika ditemubual wartawan.

“Kami mendapat kesempurnaan dengan keseimbangan jentera dan ia semakin baik sedikit demi sedikit dan pada setiap minggu juga, kami memperoleh komunikasi yang menakjubkan,” kata Hamilton yang memburu gelaran dunia kelima.

“Saya memberi keterangan yang agak panjang ketika ini dan kami berusaha sehingga kami tidak meninggalkan apa-apa di belakang, tiada apapun yang ditinggalkan setiap minggu sejak kami tiba, jadi ia benar-benar kerja berpasukan.”

Sementara itu, Wolff memberi amaran pasukan itu perlu mengekalkan momentum untuk menjulang kedua-dua gelaran, pemandu dan pengeluar pada musim ini bermula di GP Russia, dalam tempoh dua minggu lagi.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 5:41pm
d