arena

Mourinho cari 'magis' lama

Oleh AFP

LONDON: Jose Mourinho berdepan realiti baharu dalam Liga Juara-Juara apabila Manchester United melancarkan kempen mereka bertemu Young Boys of Bern, awal pagi Khamis ini.

Mourinho pernah menjadi antara daya penguat pasukan utama di Liga Juara-Juara, menjuarai pertandingan itu sebanyak dua kali dan menyertai peringkat kalah mati hampir setiap tahun.

Namun sudah empat tahun berlalu sejak kali terakhir jurulatih Portugis itu meraih kejayaan pada peringkat kalah mati pertandingan kelab elit Eropah itu.

Dalam tempoh itu, pengendali berusia 55 tahun itu diatasi oleh pengurus Liverpool, Juergen Klopp, Diego Simeone (Atletico Madrid) dan Zinedine Zidane (bekas pengurus Real Madrid) sebagai jurulatih paling berjaya serta inovatif pada pertandingan itu.

Dalam 10 perlawanan kalah mati bersama United dan Chelsea yang dikemudi Mourinho di Liga Juara-Juara, beliau hanya meraih dua kemenangan dan lima seri - dengan kemenangan terakhirnya di peringkat kalah mati hadir di United dan ketika itu beliau mengendalikan Real Madrid pada 2013.

Kemerosotan Mourinho selaku kuasa utama Liga Juara-Juara mencerminkan cabaran pudar United, yang mara ke final sebanyak empat musim bermula dari 2008 tetapi sejak dari itu bergelut untuk menemui impak diinginkan.

Kelab itu sedang bersiap sedia untuk perlawanan menentang juara Switzerland di Bern selepas bergelut dengan masalah pada awal musim namun mungkin sedikit selesa selepas menang 2-1 ke atas Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Mourinho, yang meraih kemenangan kedua berturut-turut Sabtu lalu, mungkin terdesak untuk memadamkan memori tersingkir pada pusingan 16 terbaik musim lalu tatkala penyokong United yang kecewa bersorak ‘serang, serang, serang’ ke atas pemain mereka.

Apa pun, ia satu permulaan buat Mourinho untuk kembali menemui sentuhan magisnya. - AFP

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 9:01am
d