arena

Ronaldo curi tumpuan

Oleh AFP

VALENCIA, Sepanyol: Tiada pemain memiliki lebih banyak kejuaraan Liga Juara-Juara seperti Cristiano Ronaldo namun kejayaan keenam bersama Juventus pasti menjadikannya yang terbaik dalam kalangan terbaik.

Ronaldo memainkan peranan penting dalam lima kejayaan terdahulu, bermula dengan tandukan kencangnya buat Manchester United menentang Chelsea pada 2008 hingga kepada aksi penentu, sepakan penalti pada minit ke-97 menentang Juventus pada suku akhir musim lalu.

Dalam tempoh itu, dia menjaringkan 17 gol dalam setiap perlawanan kecuali satu dalam laluan merebut trofi pada 2014, penalti penentu kemenangan menentang Atletico Madrid pada 2016 dan hatrik menentang lawan sama, kali ini pada separuh akhir setahun kemudian. Dia juga menjaringkan dua gol menentang Juventus pada aksi final.

Daripada menjadi mangsa, Juve akhirnya memutuskan pada musim panas lalu satu-satunya cara untuk memenangi Liga Juara-Juara sebelum Ronaldo bersara adalah dengan mempunyai Ronaldo dalam pasukan mereka.

Mereka memulakan usaha itu awal pagi Khamis ini, apabila pemain berusia 33 tahun itu menyepak bola secara kompetitif di Sepanyol buat kali pertama sejak perpindahan 100 juta euro (RM485 juta) dari Madrid.

Valencia menjadi penghalang di Mestalla, yang mana dia menjaringkan dua gol, kedua-duanya penalti bersama bekas pasukannya musim lalu.

Ramai terkejut apabila Ronaldo meninggalkan ibu negara Sepanyol dan ramai juga percaya dia tidak sebulu dengan presiden kelab itu.

Lionel Messi memberitahu Radio Catalunya awal bulan ini: “Saya terkejut, saya tidak boleh bayangkan dia meninggalkan Madrid atau dia berpindah ke Juve.”

Lebih banyak rekod mungkin menyusul di Madrid namun sebaliknya dia bermula semula, berdepan risiko terhadap reputasinya di tempat baru.

Juventus juga berdepan risiko selepas membelanjakan wang yang besar terhadap pemain berusia lebih 30 tahun dan pemain yang sudah agak berbeza berbanding penyerang sensasi yang pernah menakluk pertahanan kiri, kanan dan tengah.

Gol pertamanya buat Juve menentang Sassuolo Ahad lalu adalah tampanan dari jarak dekat, gol kedua rembatan leret kaki kiri ke penjuru gol. Selepas tiga perlawanan tidak meledak gol, Ronaldo sendiri turut berasa tertekan.

“Saya agak tertekan dengan semua percakapan selepas perpindahan dari Real Madrid dan tidak menjaringkan gol,” katanya selepas itu. “Saya gembira, saya bekerja keras dan rakan sepasukan amat membantu untuk menyesuaikan diri dengan liga ini.”

Tekanan sebenar bagaimanapun hadir di Eropah apabila pelaburan Juventus akan dinilai. - AFP

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 1:17pm
d