arena

Dua Silva 'ganti' De Bruyne

MANCHESTER, England: Pep Guardiola seorang yang tidak mudah untuk dipuaskan jadi tidak hairan pengurus Manchester City itu tidak begitu menonjolkan kegembiraannya terhadap prestasi Bernardo Silva yang baru memuncak pada musim keduanya di kelab juara Liga Perdana Inggeris itu.

Kempen pecah rekod City musim lalu banyak disebabkan kehebatan Kevin de Bruyne. Namun dengan ketiadaan pemain Belgium itu kerana kecederaan lutut yang berpanjangan, pilihan yang ada buat Guardiola adalah menurunkan Bernardo dari Portugal dan pemain sama nama dengannya David Silva.

Kedua-dua pemain bergelut secara berbeza di sebalik kejayaan City musim lalu.

Bernardo memainkan peranannya menyingkirkan City daripada Liga Juara-Juara bersama AS Monaco pada musim pertama Guardiola di England, namun terpaksa bersabar selepas berpindah dengan harga £43 juta (RM234 juta) ketika kehebatan De Bruyne, Silva, Leroy Sane dan Raheem Sterling mengehadkan peluangnya.

Setahun berlalu, kecederaan De Bruyne memberi peluang kepadanya beraksi secara kerap sebagai pencetus kreativiti di bahagian tengah City dan Guardiola beria-ia memujinya selepas menang 3-0 ke atas Fulham, Sabtu lalu.

“Hampir mustahil untuk berpuas hati sebagai seorang pengurus dengan kehadirannya,” kata Guardiola. “Dia seorang yang kurus kering, kecil tapi dia menakjubkan!

“Dia berhak beraksi setiap minit ketika diturunkan. Saya takkan lupa sikapnya musim lalu apabila dia banyak berlatih tapi tidak berada dalam kesebelasan utama. Saya tak lupa sikapnya di depan rakan sepasukan. Dia pemain contoh.”

Selepas persembahan yang disanjung sebagai terbaik oleh Guardiola ketika City mengatasi Chelsea pada aksi Perisai Komuniti bulan lalu, pengendali dari Catalan itu mendakwa kesebelasan utamanya “ketika ini, adalah Bernardo dan 10 pemain lain.”

Di sampingnya ketika City berusaha memenangi Liga Juara-Juara buat julung kali bermula di laman sendiri menentang Lyon awal pagi Khamis ini adalah Silva yang lebih tua.

Pemain Sepanyol itu menikmati semula permainannya selepas lima bulan sukar babak akhir musim lalu apabila dia sering berulang alik dari Manchester ke kampung halamannya untuk melawat anak lelakinya yang lahir tidak cukup bulan.

Lahir pada Disember lalu, Mateo Silva akhirnya dibenarkan keluar dari hospital pada Mei lalu.

“Ia terlalu sukar,” kata Silva kepada BBC. “Memang susah kerana dia berada di hospital dalam tempoh yang lama, anda tidak boleh berhenti memikirkan mengenainya. Lagipun dia di Sepanyol, bermakna saya terpaksa kerap berulang alik dan jarang dapat berlatih.

“Saya tidak cukup tidur, makan pun tiada selera. Tapi mujurlah pasukan bertindak dengan amat bagus dan ia banyak membantu.”

Namun bulan lalu Mateo hadir menyaksikan bapanya menjaringkan gol hebat menerusi sepakan percuma di Etihad ketika membelasah Huddersfield Town 6-1. - AFP

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 1:54pm
d