arena

Aqil terpantas SUKMA 2018

Oleh Aida Adilah Mat dan Jumiati Rosly

IPOH: Pelari Selangor Muhammad Aqil Yasmin tampil mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Raja Pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 apabila mengungguli saingan 100 meter di Stadium Perak, hari ini.

Ketika tumpuan lebih terarah kepada Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail yang berpengalaman beraksi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini, Aqil membuktikan tiada yang mustahil jika berusaha memberi yang terbaik.

Biarpun tidak memegang status sebagai atlet kebangsaan dan hanya berlatih di bawah bimbingan jurulatih luar, Simon Lau, Akil mempamerkan larian penuh bertenaga untuk muncul pelari terpantas dengan masa 10.39 saat (s).

Haiqal pula menamatkan larian di tempat kedua dengan 10.43s manakala Zulfiqar terpaksa berpuas hati di tempat ketiga (10.46s).

Aqil yang ditemui mengakui kemenangan dengan melakar catatan masa terbaik peribadi itu mengubati kekecewaannya dua tahun lalu apabila sekadar menduduki tempat keempat.

“Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan. Alhamdulillah saya berjaya melakukan catatan terbaik peribadi berbanding catatan sebelum ini 10.48s.

“Saya hanya fokus kepada larian dan nasihat jurulatih memang membantu saya untuk mengekalkan rentak larian,” katanya.

Ditanya apakah nasihat yang diberikan oleh jurulatih, Aqil berkata, jurulatihnya memaklumkan semua atlet adalah sama dan apa apa yang perlu dilakukan adalah fokus kepada larian hingga ke garisan penamat.

Kali terakhir Aqil, 18, mewakili Malaysia dalam kejohanan luar adalah pada Kejohanan Universiti Dunia tahun lalu.

Dia turut disenaraikan sebagai pelari simpanan dalam kuartet 4x100m negara ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Justeru, dia turut berharap kejayaannya hari ini dapat membuka mata Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyenaraikannya dalam skuad kebangsaan.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 7:31pm
d