arena

Nidzam pengecut: Liridon

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Tonggak import Kedah, Liridon Krasniqi tampil mengecam secara terbuka pengendali pasukan, Nidzam Adzha Yusoff yang disifatkannya punca utama di sebalik kegagalan Helang Merah melepasi peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia musim ini.

Nidzam yang direhatkan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) susulan kemerosoton prestasi pasukan pada bulan lalu, menjadi bahan kecaman Liridon yang mendakwa jurulatih berkenaan sebagai pengecut dan lari begitu saja meninggalkan pasukan.

Malah, awang import dari Kosovo itu menyindir Nidzam yang disifatkannya hanya pandai bercakap terutama ketika ditemubual oleh pihak media.

“Satu perkara penting, lelaki ini (Nidzam) adalah pengecut terbesar yang pernah saya lihat,” katanya dalam Instagram Story miliknya.

“Anda meninggalkan kami tanpa berkata apa-apa, anda meninggalkan kami apabila kami turun (prestasi merudum), anda hanya hilang! Tapi apabila bercakap di belakang pemain kepada pihak media, itu adalah kerja terbaiknya.

“Tetapi kami masih berada di sini dan anda adalah seorang yang pengecut tanpa karakter,” tulisnya.

Luahan pedas Liridon itu kemudiannya menjadi tular di laman sosial apabila ramai penyokong yang mula mengkritik tindakan kurang profesional pemain berusia 26 tahun itu terhadap Nidzam.

Untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, Liridon bertindak memadamkan kenyataan itu selepas menyedari dirinya menjadi bahan kecaman penyokong Helang Merah.

Pada Ahad lalu, Kedah ditunjukkan jalan keluar oleh pasukan Kelantan dalam saingan Piala Malaysia selepas naib juara musim lalu itu tewas mengejut 2-0 di Kota Bharu untuk mengesahkan kemaraan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Kumpulan C ke peringkat lapan terbaik.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 7:38pm
d