arena

Hamidin yakin dengan Teong Kim

Oleh Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin percaya Lim Teong Kim mampu memainkan peranan penting menangkis segala tekanan bakal dihadapi anak buahnya sepanjang Kejohanan B-16 AFC 2018 yang akan bermula Khamis ini.

Hamidin berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pemain skuad B-16 bimbingan Teong Kim di hotel penginapan mereka di Petaling Jaya, hari ini.

“Peminat bola sepak sememangnya menginginkan pembaharuan dalam bola sepak yang bermula dari generasi baru ini, maka pastinya akan ada tekanan dalam kalangan pemain.

“Saya yakin Teong Kim mempunyai cara tersendiri untuk menangani tekanan ini. Apa yang penting, pemain perlu kekal fokus dan memiliki keyakinan tinggi,” katanya selepas memberikan kata-kata semangat kepada skuad B-16 negara.

Hadir sama pada pertemuan itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan Naib Presiden FAM yang juga pengurus pasukan B-16 negara, Datuk S Sivasundaram.

Skuad B-16 negara akan memulakan saingan Kumpulan A menentang Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada jam 4.30 petang, Khamis ini.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 10:23pm
d