arena

Voli Icardi hampakan Spurs

Oleh AFP

MILAN: Jaringan voli menakjubkan Mauro Icardi menjadi pencetus kebangkitan Inter Milan untuk menewaskan Tottenham 2-1, dalam penampilan pertama mereka selepas tujuh tahun tidak beraksi di Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Spurs mendahului pada minit ke-53, menerusi gol Christian Eriksen dalam aksi di San Siro itu dan pasukan pelawat dilihat selesa hampir sepanjang babak kedua.

Bagaimanapun, penyerang Argentina, Icardi melakukan voli di minit ke-86 untuk menyamakan kedudukan, sebelum Matias Vecino mengambil kesempatan di atas kesilapan pertahanan Tottenham bagi menanduk masuk gol kemenangan cukup dramatik pada masa kecederaan.

“Ia detik yang menakjubkan, kami berjaya melakukan apa yang perlu kami lakukan,” kata Icardi selepas meledak gol pertama musim ini dalam penampilan pertama Liga Juara-Juara.

Inter Milan kali terakhir merangkul trofi pada 2010, di bawah kendalian Jose Mourinho dan kini kembali ke saingan elit Eropah itu untuk kali pertama sejak 2011/12, manakala Tottenham disingkirkan Juventus pada pusingan kalah mati musim lalu.

“Inilah yang penyokong mahu saksikan,” kata jurulatih Inter, Luciano Spalletti.

"Icardi menjaringkan gol menakjubkan. Pasukan ini mempamerkan aksi hebat dan berusaha keras untuk mencapai kemenangan.”

Kemenangan itu membolehkan Inter menduduki tangga kedua Kumpulan B di belakang Barcelona, menerusi perbezaan jaringan selepas gergasi Catalan itu membelasah PSV Eindhoven 4-0, dengan Lionel Messi mencipta hatrik.

Kemenangan penuh drama itu menceriakan 66,000 penyokong di San Siro yang pada awalnya bimbang prestasi hambar Inter dalam kempen Serie A dibawa ke saingan Eropah.

“Kami turun beraksi dalam perlawanan ini dengan beberapa masalah,” kata Spalletti. “Saya fikir kemenangan pada minit akhir ini akan memberikan anda keyakinan diri,”  -AFP

 

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 8:12am
d