arena

Griezmann, Costa kecewakan Monaco

Oleh AFP

MONACO: Diego Costa dan Antoine Griezmann muncul penyelamat Atletico Madrid, ketika membantu pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Monaco 2-1, dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Liga Juara-Juara, pagi tadi. 

Dalam aksi itu, pasukan pelawat  ketinggalan seawal minit ke-18, hasil jaringan pemain sayap Monaco, Samuel Grandsir selepas menerima hantaran menarik Radamel Falcao. 

Namun, selepas setengah jam perlawanan berlangsung, Costa  menyamakan kedudukan apabila bijak menyempurnakan hantaran lambung Griezmann dengan meledak bola rendah untuk menewaskan Diego Benaglio. 

Jose Maria Giminez – yang menangis di padang ketika Perancis menumbangkan Uruguay 2-0 pada suku akhir Piala Dunia di Russia – menanduk masuk bola sepakan sudut pada masa tambahan, di separuh masa pertama. 

Jaringan kedua itu terus menenggelamkan sorakan penyokong tuan rumah. 

Bekas pemain Monaco, Thierry Henry dan bekas jurulatih, Didier Deschamps turut berada di kalangan lebih 12,000 penyokong yang hadir, termasuk 80 penyokong Atletico.

Atletico yang bergelut dalam permulaan kempen di La Liga, – dengan jurulatih, Diego Simeone digantung empat perlawanan lebih banyak melakukan asakan bahaya dan kukuh bertahan walaupun hanya dikendalikan pembantu jurulatih, Burgos. 

Pertahanan Monaco, Kamil Glik berjaya menjalankan tugasnya dengan berkesan apabila mengawal ketat pergerakan Costa yang dlletakkan sebagai sasaran utama. 

Falcao pula tidak pernah mengalah untuk cuba mencipta jaringan bagi menyamakan kedudukan dan hampir mendapatkan penalti pada minit ke-66, dan selepas itu, percubaannya sedikit tersasar daripada gawang. 

Pemain antarabangsa Perancis, Thomas Lemar yang kembali ke Stade Louis II selepas berpindah ke Madrid dimasukkan pada penghujung perlawanan dan berjaya memastikan  Atletico mengekalkan tiga mata penting di laman lawan.

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 8:25am
d