arena

Liridon tak profesional

Oleh Rodly Fadly

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) menganggap pemain import, Liridon Krasniqi sebagai tidak profesional apabila mengecam bekas pengendali pasukan, Nidzam Adzha Yusof sebagai pengecut ekoran kegagalan Helang Merah layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Naib Presiden KFA, Khamal Idris Ali berkata, Liridon tidak patut menuding jari kepada Nidzam atas kegagalan itu apatah lagi mengeluarkan kecaman yang melampau seperti itu.

"Kita tahu dia kecewa, tetapi kegagalan ini bukan patut dipersalahkan ke atas Nidzam sebaliknya semua pihak termasuk Liridon sendiri perlu bertanggungjawab.

"Saya anggap kenyataan Liridon tidak menggambarkan dia sebagai pemain profesional sejati. Dalam istilah mudah dia tidak profesional!" tegas Khamal.

Khamal berkata sebagai pemain, Liridon tidak boleh mengecam individu lain sama ada pegawai atau rakan pasukan apatah lagi secara terbuka.

"Walaupun Nidzam sudah tidak bersama pasukan, tetapi Liridon patut menghormatinya. Malah, bagi saya Nidzam bukan pengecut atau lari daripada tanggungjawab sebagaimana dituduh.

"Sebaliknya kerana rasa bertanggungjawablah beliau mengambil keputusan untuk berehat selepas Kedah berdepan masalah prestasi. Selepas berbincang dengan KFA, kami bersetuju dengan permintaannya.

Bagi Khamal, walaupun Liridon telah memadam status itu selepas dikecam peminat, namun pemain berkenaa n perlu neminta maaf kepada Nidzam secara peribadi.

"KFA sendiri sebagai majikannya sehingga penghujung November ini  dijangka akan memanggil Liridon untuk membuat teguran mengenai isu ini," kata Khamal.

Semalam Liridon melalui akaun Instagram miliknya telah mengecam Nidzam namun memadam status itu selepas dikecam penyokong Kedah.

Antara ungkapan pedas pemain dari Kosovo itu adalah: "Satu perkara penting, lelaki ini (Nidzam) adalah pengecut terbesar yang pernah saya lihat."

 

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 3:28pm
d