arena

Lama tak dengar khabar LCW

Oleh Helmi Talkah

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh dua minggu selepas selesai menjalani rawatan susulan masalah kesihatan yang dialaminya.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai yang berkesempatan melawat Chong Wei baru-baru ini berkata, proses rawatan ke atas pemain berusia 36 tahun itu berjalan dengan baik.

“Rawatannya dijangka selesai minggu depan. Seperti semua tahu, Chong Wei menjalani rawatan di luar negara dan dijangka pulang dalam tempoh dua minggu lagi.

“Dia masih perlu berehat selama sebulan sebaik kembali dan selepas itu doktor akan memantau serta memaklumkan sama ada dia boleh bermain semula,” kata Chin Chai pada sidang media selepas mesyuarat ahli majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Bekas pemain nombor satu dunia itu sebelum ini mengejutkan peminat badminton tanah air apabila menarik diri daripada menyertai Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan lalu selepas dikatakan mengalami masalah pernafasan dan memerlukan rawatan lanjut.

Difahamkan Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali menerima rawatan di Taiwan.

Meja Sukan NSTP sebelum ini melaporkan Chong Wei mengalami masalah kesihatan serius yang mampu menamatkan kerjayanya sebagai pemain badminton.

Dalam pada itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau bercadang untuk melawat Chong Wei dan akan memaklumkan perkembangan lanjut mengenai pemain itu.

“Saya sentiasa berhubung dengan Chong Wei. Setakat ini rawatannya berjalan baik. Saya juga sedang mencari masa sesuai untuk melawatnya... selagi saya tidak bertemu dengannya, saya tidak boleh mengulas panjang,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 5:37pm
d