arena

Tiket Pahang-JDT 'laku keras'

Oleh Asrol Awang

SEBANYAK 28,000 tiket diperuntukkan bagi aksi suku akhir pertama Piala Malaysia antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Norlia Abdul Manaf berkata, enam kaunter termasuk satu kaunter khas untuk golongan wanita akan disediakan.

“Semua tiket mula dijual jam 9.30 pagi pada hari perlawanan. Harga tiket RM23 bagi tempat duduk grandstand, RM13 (berbumbung) dan RM10 (terbuka).

“Bagi mengelak kehabisan tiket, penyokong diminta datang awal untuk membolehkan mereka menyaksikan aksi Pahang-JDT di stadium,” katanya di sini, hari ini.

Bagi keselesaan penyokong, beliau berkata, pihaknya meminta peminat tiba lebih awal kerana 16 pintu masuk stadium mula dibuka jam 6.30 petang.

Katanya, peminat juga diminta mengikut nombor yang tertera di tiket dan laluan utama di hadapan stadium mula ditutup pada jam 5 petang.

“Setakat ini, kami hanya membenarkan 10 bas penyokong JDT diparkir di tempat letak kenderaan di depan stadium,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 6:29pm
d