arena

'Hang tak layak Mat Don'

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyifatkan pemain import Kedah, Liridon Krasniqi tidak layak untuk mengecam Nidzam Adzha Yusoff.

Liridon sebelum ini dilaporkan melabel Nidzam sebagai pengecut sambil mendakwa jurulatih yang kini direhatkan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu meninggalkan pasukan ketika Helang Merah sedang merosot.

Sathianathan bagaimanapun berpendapat hanya pihak pengurusan KFA dan kapten, Baddrol Bakhtiar saja yang berhak mengeluarkan kenyataan seperti diluahkan Liridon.

“Bila muncul juara ada tak Liridon puji dia (Nidzam)? Ketika menang pemain dianggap handal, bila kalah saja jurulatih (dianggap) bodoh, jurulatih bukan dapat pujian tapi pemain yang dapat pujian.

“Liridon kena tanya dulu kenapa Nidzam tinggalkan mereka, kalau Nidzam tinggalkan pasukan bersebab, jadi nak salahkan pengurusan ke nak salahkan jurulatih?

“Orang juga boleh tanya, Liridon ketika lawan Kelantan mendapat banyak peluang tapi kenapa dia tidak jaringkan gol? Semua pihak termasuk pasukan dan pengurusan perlu memikul tanggungjawab bersama ketika pasukan kalah,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Liridon didakwa membuat kecaman ke atas Nidzam menerusi Instagram miliknya, kelmarin namun kenyataan di ruangan Insta Story itu dipercayai sudah dipadam.

Selain itu, Sathianathan tidak menolak kemungkinan Nidzam akan mengeluarkan Liridon sekiranya beliau masih bertindak sebagai jurulatih Kedah.

“Dalam keadaan seperti ini, jika anda masih lagi jurulatih, orang (pemain) yang pertama dikeluarkan adalah mereka yang tidak ikut cakap.

“Bagi saya setiap masalah dalam pasukan perlu dibincangkan dulu, jangan luahkan di media. Ia juga tidak baik untuk pengurusan Kedah,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 7:10pm
d