arena

Nur Aisyah rangkul emas keempat SUKMA

Oleh Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat

IPOH: Menyapu bersih kesemua tiga pingat emas acara berbasikal lebuh raya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, Nur Aisyah Mohamad Zubir yang kali pertama bertanding acara berbasikal trek di SUKMA berjaya menghadiahkan satu lagi pungutan emas buat Terengganu dalam acara 10km perlumbaan scratch wanita di Velodrom Rakyat di sini, hari ini.

Nur Aisyah, 21, yang bertanding keseluruhan tujuh acara pada SUKMA kali ini berkata biarpun diletakkan sebagai pelumba bukan pilihan dalam acara trek, kehadiran keluarganya dari Kemaman, Terengganu menjadi pembakar semangat buatnya untuk memenangi emas.

“Untuk trek, saya sempat berlatih dalam seminggu sahaja, itu pun keseluruhan dalam 10 jam.

“Saya rasa kelebihan saya adalah pada ketahanan yang saya ada. Lagi pun jurulatih, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan banyak membawa kami menjalani latihan di jalan raya bagi membina ketahanan mental dan fizikal,” kata Nur Aisyah.

Ketika ditanya sama ada yakin untuk menyapu bersih tiga emas lagi yang akan disertai - kejar mengejar individu dan berpasukan serta keirin, Nur Aisyah berkata:” Insya Allah saya akan cuba buat yang terbaik.”

Majlis penyampaian hadiah acara 10km scratch wanita itu bagaimanapun belum dijalankan disebabkan adanya bantahan daripada empat kontinjen iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak dan Pahang yang membantah keputusan untuk pemenang di tempat ketiga dan komisar perlumbaan mengambil keputusan satu perlumbaan semula akan dijalankan esok.

Kejayaan Nur Aisyah yang memenangi perlumbaan di tempat pertama dan juga rakan senegerinya, Ezzatie Fifiyana Shazwanie Shaiful Hisham di tempat kedua bagaimanapun tidak berubah.

Selepas berakhirnya acara 10km scratch wanita itu, perlumbaan terpaksa dihentikan berikutan cuaca hujan dan semua perlumbaan akan disambung pada pukul 9 pagi esok.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 7:13pm
d