arena

Peluang buat Fatehah

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Ratu trek negara, Fatehah Mustapa berpeluang untuk kembali ‘memikat hati’ ketua jurulatih negara, John Beasley apabila dijadual menyertai tiga perlumbaan kelas satu dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas digugurkan saat akhir ke Sukan Asia 2018 bulan lalu.

Menurut jurulatih trek negara, Junaidi Mohd Nasir, selepas digugurkan daripada Sukan Asia bulan lalu, Fatehah kembali dijadualkan menyertai tiga kejohanan, bermula Piala Trek Asia India di New Delhi esok.

“Ia akan disusuli dengan Piala Trek Asia Thailand di Bangkok, awal bulan depan dan Grand Prix Asia Tenggara di Velodrom Nasional, Nilai,” jelas Junaidi yang mengiringi Fatehah ke India.

Beasley membuat kejutan apabila mengugurkan Fatehah daripada senarai akhir ke Sukan Asia dengan menjelaskan ia ada kaitan dengan prestasi Fatehah dan sebaliknya memutuskan untuk menyenaraikan dua pelumba muda bagi menggalas cabaran negara.

“Saya lihat misi di India penting buat Fatehah. Dia perlu menaiki podium dalam tiga kejohanan itu bagi mengumpul mata dan mara ke siri Piala Dunia yang menjadi medan merebut tiket ke Sukan Olimpik 2020.

“Pada masa yang sama, peluang ini perlu disambarnya sebagai pembakar semangat selepas Sukan Asia tempoh hari. Sepanjang latihan di bawah kendalian saya, dia kelihatan positif dan bersemangat untuk mengharungi kejohanan di India ini,” tambah Junaidi.

Seramai 150 pelumba dari 10 negara termasuk Australia, Thailand, Hong Kong, Singapura dan Bangladesh akan bersaing dalam kejohanan selama tiga hari di Velodrom Indira Gandhi.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 7:35pm
d