arena

Malaysia jumpa Argentina esok

Oleh Jugjet Singh

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara akan berdepan pasukan tangga kedua dunia, Argentina pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Darwin di Stadium Hoki Marrara, Australia, esok.

Malaysia tewas 2-5 kepada Australia dan seri 3-3 dengan Jepun yang menjadi petanda skuad kendalian Amin Rahim itu mungkin akan menentang Jepun bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Argentina sudah memenangi dua perlawanan dan mengumpul enam mata selepas menewaskan Jepun 2-1, manakala pasukan nombor satu dunia Australia yang akan berdepan Jepun, esok perlu mengutip mata maksimum untuk berada di tangga kedua.

Amin yang tetap optimis untuk berdepan Argentina berkata: “Kami sudah berdepan mereka sebelum ini dan mereka tidak membawa pemain terbaik pada kejohanan ini. Kami mempunyai peluang untuk mencipta kejutan.

“Antara pemain terkenal mereka yang tidak berada di Darwin adalah Gonzalo Peillat. Tapi kami tidak boleh memandang rendah terhadap pemain baru mereka yang menunjukkan prestasi hebat ketika mengalahkan Australia (2-0).”

Semua petunjuk membayangkan Malaysia dan Jepun akan berebut tempat ketiga dan keempat, manakala Argentina dan Australia akan bertarung bagi penentuan juara.

Malaysia perlu melakukan yang terbaik apabila menentang juara Sukan Asia, Jepun yang berjaya menafikan kemenangan Malaysia dalam pertembungan dua pasukan itu sebelum ini.

Jepun menewaskan Malaysia dalam penentuan pingat emas Sukan Asia selepas bangkit daripada ketinggalan 2-5 dan di Darwin, mereka ketinggalan 1-3 tapi berjaya mengikat kedudukan 3-3.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 9:25pm
d