arena

Teong Kim tak gusar

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Ketiadaan penjaga gol utama skuad Bawah 16 tahun negara (B-16) Sikh Izhan Nazrel untuk aksi kedua Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 bertemu Thailand dilihat tidak menggusarkan jurulatihnya, Lim Teong Kim.

Bekas pembantu jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu menegaskan dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada penjaga gol gantian yang diyakini mampu memberikan persembahan cemerlang untuk aksi selepas ini.

Katanya, dia juga tidak menyalahkan Sikh sebaliknya menyifatkan insiden itu sebagai satu pengajaran yang berguna buat anak buahnya itu namun mengakui tindakannya itu sebagai satu kesilapan.

“Saya sudah katakan semalam (kelmarin) bahawa mereka ini masih budak-budak. Dia beraksi dengan baik namun satu kesilapan dilakukannya tetapi pada saya, ia bukanlah satu masalah.

“Ini sebahagian daripada proses pembelajaran dan mereka dibenarkan untuk membuat kesilapan. Sudah tentu mereka akan bangkit dan memperagakan persembahan lebih baik.

“Kami masih ada pemain tidak kurang hebatnya dan sama bagus dengan Sikh. Kami memiliki kelompok pemain yang baik dan tidak hanya bergantung kepada seorang pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, hari ini.

Tindakan Sikh yang ‘berkungfu’ ke arah penyerang Tajikistan, Soirov Rustam pada minit ke-87 mengundang padah apabila dia dilayangkan kad merah sekali gus berdepan penggantungan automatik bertemu Thailand dan berkemungkinan terlepas aksi bertemu Jepun sekiranya penilai pengadil melihat semula rakaman insiden terbabit.

Bagaimanapun, insiden itu tidak menghalang Malaysia meraih mata penuh di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila unggul membenam Tajiskitan 6-2 yang menyaksikan Luqman Hakim Shamsudin meledak empat gol sementara dua gol lagi disumbangkan menerusi sepakan penalti Muhd Najmuddin Akmal dan Muhd Alif Mutalib.

Mengulas mengenai ‘hero’ iaitu Luqman yang meledak empat gol pada aksi terbabit, Teong Kim bagaimanapun menegaskan kredit seharusnya diberikan kepada semua pemain dalam pasukan.

“Empat gol adalah satu pencapaian yang bagus tetapi tanpa sokongan pemain lain, sudah tentu dia tidak dapat menjaringkan gol sebanyak itu.

“Ia kerjasama secara kolektif. Apa yang kita lakukan di peringkat remaja di sini semuanya adalah secara kolektif.

“Memang dia menjaringkan empat gol tetapi anda perlu lihat bagaimana gerakan untuk gol itu dihasilkan. Tetapi ia memang sesuatu baik untuk Luqman,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persembahan anak buahnya pada aksi terbabit, Teong Kim nyata gembira selepas meraih permulaan yang memberangsangkan pada temasya terbesar Asia itu.

“Saya bangga dengan kemenangan pertama anak buahnya dan inilah permulaan yang saya inginkan.

“Walaupun meraih kemenangan besar 6-2, perlawanan ini tetap memberi kesukaran kepada pemain. Jadi, kami akan menikmati kemenangan pada hari ini sebelum kembali bekerja pada hari esok,” katanya.

Selepas ini, Malaysia akan bertemu jaguh Asia Tenggara, Thailand pada Ahad sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang juara dua kali, Jepun pada Rabu depan.

 

 

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 9:34pm
d