arena

Camila musnah harapan Caroline

Oleh AFP

TOKYO: Pemain Itali, Camila Giorgi memusnahkan harapan Caroline Wozniacki memenangi kejuaraan tenis Terbuka Pan Pasifik kali ketiga berturut-turut apabila menyingkirkan pilihan utama itu, hari ini.

Camila, menghuni 35 anak tangga di belakang Caroline di tangga ke-37 dunia, melengkapkan kemenangan mengejut 6-2, 2-6, 6-4 di sini bagi menempah aksi suku akhir menentang seorang lagi bekas pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka.

Victoria membenam pemain Australia, Ashleigh Barty 6-4, 6-2 ketika pemain Belarus itu mengintai peluang kembali ke puncak tenis wanita selepas bergelar ibu pada hujung 2016.

Camila layak ke suku akhir Wimbledon awal tahun ini dan membuktikan kehebatannya apabila hanya mengambil masa 38 minit untuk memenangi set pertama dengan pukulan kencang yang sukar dibalas.

“Ia perlawanan yang bagus, gelanggang menarik, ia menyeronokkan,” kata Camila, yang berharap perkara sama menentang Victoria esok.

“Saya akan cuba fokus terhadap perancangan permainan saya seperti biasa dan harap beraksi dengan amat konsisten, seperti hari ini.”

Pemain Czech, Barbora Strycova memenangi pertembungan ‘panas’ ke atas pemain Estonia, Anett Kontaveit 7-6, 3-6, 7-5 untuk berdepan juara Terbuka AS dari Jepun, Naomi Osaka.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 10:23pm
d