arena

Dua lagi rekod SUKMA lebur

Oleh Azizan Hashim

IPOH :Dua rekod kejohanan berjaya dipecahkan pada hari keempat acara renang Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19 di Pusat Akuatik Tuanku Zara hari ini.

Dua acara itu ialah 200 meter kuak dada lelaki dan 4x200 meter berganti-ganti gaya bebas lelaki.

Perenang Selangor Ng Jing Fu memadam rekod lama acara 200 meter kuak dada yang dipegang rakan sepasukan Daniel Lim Jun Liang 2 minit 19.12 saat dua tahun lalu.

Jing Fu yang pertama kali tampil dalam temasya dwitahunan itu mencatat 2 minit 17.47 saat untuk mengatasi rakan sepasukan Desmond Ng Yi Hao dan Tey Ji Xing dari Johor yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

“Saya gembira dengan pencapaian ini kerana telah berusaha gigih dan menjalani latihan keras. Saya tidak menjangka akan memecah rekod tetapi turun dengan tekad memberi persembahan terbaik.

“Saya terkejut apabila melihat catatan saya sebaik tiba di garisan penamat,” katanya.

Pingat emas hari ini adalah yang kedua buat perenang berusia 17 tahun itu yang meraih emas pertama menerusi acara 100 meter kuak dada dan pingat perak acara 50 meter kuak dada.

Sementara kuartet 4x200 meter gaya bebas berganti-ganti Wilayah Persekutuan terdiri daripada Keith Lim, Khiew Hoe Yan, Chan Jun Jian dan Sebastian Soon mencipta rekod baharu dengan catatan 7 minit 40.17 saat mengatasi rekod lama 7 minit 43.67 saat milik Selangor dua tahun lalu.

Selangor meraih pingat perak manakala Sarawak gangsa. Sabah dan Terengganu juga mencapai kejayaan gemilang apabila meraih pingat emas pertama masing-masing.

Arvin Shaun Chahal Singh melakar kejutan apabila meraih pingat 400 meter gaya bebas lelaki untuk emas pertama Terengganu dengan catatan 4:00.59s mengatasi Tan Tsien Ee dari Selangor dan Koay Wern Rui (Pulau Pinang) manakala Hollymax Bell meraih emas pertama Sabah melalui acara 100m gaya kupu-kupu lelaki mengatasi Jordan Yip (Selangor) dan Lim Yin Chuen (Pulau Pinang).

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 10:32pm
d