arena

'Tak payah mainlah!'

Oleh Helmi Talkah

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) disaran untuk berhenti menghantar pemain menyertai kejohanan antarabangsa sehingga masalah yang membelenggu badan induk itu sehingga menjurus kepada kemerosotan prestasi pemain dikenal pasti dan diselesaikan.

Bekas Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata, ini adalah masa sesuai untuk berbuat demikian sebelum pusingan kelayakan Olimpik Tokyo 2020 bermula pada 1 Mei tahun depan.

"Pada pandangan saya, BAM perlu kenal pasti masalah dan selesaikannya dengan telus. Tiada masalah tidak boleh diselesaikan.

"Apa yang saya lihat, pemain tiada hala tuju dan tidak menunjukkan semangat tinggi apabila beraksi dalam kejohanan. Pemain kita tidak lagi digeruni oleh lawan mereka.

"Jadi, tiada cara lain selain BAM melakukan rombakan besar-besaran.

"Buat sementara waktu, tidak perlu menghantar pemain menyertai kejohanan. Tiada guna mereka sertai kejohanan, jika pergi untuk kalah.

"Bagi saya, biar ranking dunia mereka jatuh daripada terus beraksi untuk kalah yang pastinya akan membuatkan tahap keyakinan mereka menurun," kata Kenny ketika dihubungi, hari ini.

Bekas 'orang kuat' BAM itu mengulas mengenai kemerosotan prestasi pemain negara di pentas antarabangsa yang mencetuskan kebimbangan peminat badminton tanah air terutama menjelang Olimpik Tokyo 2020 dengan sukan itu diletakkan sandaran bagi meraih pingat emas pertama kontinjen Malaysia.

Kenny turut bersimpati dengan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang dilihat bergerak secara solo dalam melaksanakan tugasnya sebagai orang nombor satu badan induk itu.

 "Datuk Seri Norza seorang yang bekerja keras bagi memastikan beliau melaksanakan tugasnya sebaik mungkin. Dalam hal ini, ahli majlis, Exco dan pegawai BAM perlu mengambil tanggungjawab secara bersama dan membantunya," kata Kenny.

Mengenai perancangan BAM untuk melantik pengarah kejurulatihan dan Rexy Mainaky salah seorang calonnya, Kenny berpendapat siapa pun yang dibawa masuk tidak akan dapat memulihkan kemerosotan prestasi pemain jika punca masalah utama tidak dikenal pasti.

 

 

 

 

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 6:14pm
d