arena

Acik ambil aura bang Anuar

Oleh Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat

PELUMBA idola Anuar Manan menjadi pembakar semangat buat pelumba Terengganu, Wan Abdul Rahman Hamdan yang melakar kejutan apabila menundukkan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara akhir 4 kilometer kejar mengejar individu lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) hari ini.

Dalam pertembungan final di Velodrom Rakyat, Wan Abdul Rahman, 19, yang lebih dikenali dengan panggilan Acik berjaya menewaskan pelumba Johor, Eiman Firdaus Mohd Zamri apabila unggul dengan mencatat masa 4 minit 44.215 saat bagi merangkul pingat emas.

Eiman membawa pulang perak dengan masa 4:51.73s sementara gangsa menjadi milik pelumba Sabah, Waldron Chee yang merakam 4:55.753s ketika mengalahkan Muhsin Al Redha Misbah (4:57.91s) dari Selangor.

“Ramai yang tak sangka saya boleh menewaskan lawan (Eiman) kerana sasaran saya sendiri adalah sekadar untuk menghuni kelompok empat terbaik. Tapi hari ini saya dapat rasakan semangat luar biasa mungkin disebabkan sokongan jurulatih, Menteri Besar (Ahmad Samsuri Mokhtar) dan juga mak ayah yang datang dari jauh.

“Saya juga beruntung kerana idola saya, Anuar meminjamkan basikalnya kepada saya hari ini. Semangat semakin membuak ketika kayuhan hari ini dan ternyata saya dapat mengambil aura juara daripadanya,” katanya.

Ditanya perasaannya ketika mahu berlumba menentang juara Sukan SEA, Wan Abdul Rahman yang sebelum ini memenangi satu emas kriterium dan satu perak lebuh raya lelaki berkata, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bertemu sesiapa juga termasuk Eiman yang sudah bertanding di peringkat lebih tinggi seperti di Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini.

“Namun bagi saya temasya sukan lebih besar menggunakan velodrom tertutup jadi saya rasa saya mempunyai kelebihan apabila bertanding di velodrom terbuka sebegini. Saya rasa saya mempunyai kelebihan dari segi ketahanan,” katanya.

Dalam acara pecut lelaki, pelumba Selangor, Shariz Efendi Mohd Shahrin merangkul pingat emas apabila menewaskan pelumba Johor, Muhammad Ridwan Sahrom 2-0. Pingat gangsa milik Khairil Nizam Rasol dari Johor yang mengalahkan seorang lagi pelumba Selangor, Alif Aiman Safuan.

“Orang selalu kata saiz badan yang besar memainkan peranan penting bagi pelumba pecut seperti saya. Namun saya bersyukur kerana dapat berlatih bersama senior saya, Azizulhasni Awang di Melbourne yang banyak mengajar saya untuk tidak mengalah,” kata Shariz yang memperoleh pingat emas sulungnya pada SUKMA.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 6:18pm
d