arena

Catu penampilan Dalot

Oleh AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho membayangkan hari ini beliau akan mencatu penampilan Diogo Dalot di Manchester United walaupun pemain itu beraksi cemerlang pada Liga Juara-Juara.

Mourinho mengisytiharkan Dalot, 19, sebagai pemain pertahanan muda terbaik di Eropah selepas mengikatnya dari FC Porto dengan harga £19 juta (RM103 juta) Jun lalu.

Penampilan sulung pertahanan kanan itu tertangguh kerana dia terpaksa memulihkan diri daripada pembedahan lutut namun dia kelihatan yakin apabila melakukan penampilan pertamanya buat kelab itu ketika menang 3-0 pada aksi Liga Juara-Juara ke atas kelab Switzerland, Young Boys.

Di sebalik persembahan bertenaga itu, Mourinho berkata, beliau tidak akan menurunkan pemain muda itu berdepan Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam esok, sebaliknya memilih Dalot bagi aksi pusingan ketiga Piala Liga menentang kelab Liga Kejuaraan, Derby di laman sendiri, Selasa ini.

Antonio Valencia dijangka kembali di posisi pertahanan kanan, sesudah direhatkan pada pertengahan minggu ketika menang ke atas juara Switzerland itu.

Pengurus itu menjelaskan Dalot memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Old Trafford dalam usaha merealisasikan potensi sebenarnya.

“Saya mahu dalam proses menyesuaikan diri ini dia bermain dengan cergas, jadi dia tidak bermain esok, dia bermain sekali lagi Selasa ini,” ujar Mourinho.

“Untuk bermain buat Manchester United sudah cukup sukar bagi pemain berusia 19 tahun yang hadir dari negara lain dan selepas kecederaan besar serta pembedahan. Ia sudah cukup sukar, dia tidak perlu berdepan lebih banyak kesukaran.

“Tapi dia menunjukkan Rabu lalu, bagi sesiapa yang tidak mengenalinya bahawa dia datang ke sini bukan sekadar untuk pembangunan. Dia seorang pemain yang sedia bersaing merebut tempat dalam pasukan. Dia seorang pemain yang amat bagus.”

United hadir pada perlawanan menentang Wolves dengan tiga kemenangan berturut-turut, dibolosi hanya satu gol dalam tempoh itu.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 9:01pm
d