arena

Acara berbasikal trek mungkin dipendekkan

Oleh Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat

IPOH: Acara berbasikal trek yang dipertandingkan pada hari terakhir Sukan Malaysia (SUKMA) Perak di Velodrom Rakyat esok berkemungkinan akan dipendekkan dengan beberapa acara mungkin tidak akan dipertandingkan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA Perak, Datuk Low Beng Choo berkata, keputusan itu bagaimanapun akan diputuskan oleh ketua teknikal delegasi berbasikal yang akan mengadakan mesyuarat bersama pengurus pasukan pada malam ini.

"Saya sudah meninjau venue berbasikal tadi, selepas dua hari pertandingan berbasikal trek berlangsung ia terpaksa ditangguhkan lebih awal berikutan hujan di sebelah petang.

"Esok lapan emas lagi sepatutnya dipertandingkan namun berdasarkan ramalan kaji cuaca esok juga berkemungkinan akan hujan dan mungkin program pertandingan akan dipendekkan. Apa pun kita lihat dulu situasi pagi esok sebelum sebarang keputusan dilakukan," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Jadual asal pertandingan menyaksikan berbasikal trek yang diadakan di velodrom terbuka menjadi sukan terakhir dipertandingkan pada temasya kali ini dengan sepatutnya hanya empat emas dipertandingkan pada hari terakhir esok.

Disebabkan hujan di sebelah petang pada dua hari berturut-turut berbasikal trek dipertandingkan, keseluruhan lapan emas akan dipertandingkan esok dengan acara sepatutnya berakhir sebelum majlis penutupan yang akan diadakan di sebelah malam.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 10:24pm
d