arena

Arak lebih berbisa daripada AIDS, keganasan

Oleh AFP

GENEVA: Terbukti arak atau alkohol lebih berbahaya daripada jangkitan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), keganasan dan kemalangan jalan raya, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini.

Ini kerana tiga juta orang maut di seluruh dunia kerana minum arak dan kaum lelaki golongan yang paling berisiko, kata badan dunia itu lagi.

Laporan terbaru agensi itu mengenai kesan arak terhadap kesihatan menyatakan bahawa alkohol adalah penyebab lebih daripada satu dalam setiap 20 kematian setiap tahun di seluruh dunia.

Ia membabitkan kes kemalangan kerana memandu dalam keadaan mabuk, keganasan disebabkan alkohol selain beberapa penyakit dan masalah kesihatan.

Kaum lelaki paling ramai dengan tiga suku daripada kematian adalah disebabkan arak, menurut laporan hampir 500 muka surat itu.

“Terlalu ramai termasuk keluarga dan masyarakat menghadapi kesan buruk arak melalui keganasan, kecederaan, masalah mental dan penyakit seperti barah serta serangan jantung.

“Sudah tiba masanya kita mengambil langkah menghalang ancaman serius ini ke atas pembangunan masyarakat sihat,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu kenyataan.

Minum arak dikaitkan dengan permasalahan 200 penyakit terhadap anggota tubuh termasuk masalah sel hati dan kanser tertentu.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 10:54pm
d