arena

Peluang beraksi di Belanda

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Liga hoki paling popular di dunia, Liga Belanda - Hoofdklasse kini menjadi antara destinasi terbaharu buat pemain tempatan melebarkan sayap di bumi Eropah.

Bekas penyerang kebangsaan, S Selvaraju, berkata ia menjadi misinya sebaik kembali ke Itali esok selepas bersetuju menerima pelawaan Kelab Pistoia untuk beraksi di sana sekali lagi.

Malah, pemain berusia 33 tahun itu berkata, dia sendiri akan ke Belanda mencari ‘lubang’ buat pemain negara selepas kejayaan beberapa pemain menembusi liga Itali, Jerman dan Scotland.

“Untuk kali ini, saya ditawarkan kontrak selama setahun bersama Pistoia dengan majikan saya Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sanggup melepaskan saya demi kepentingan negara.

“Malah, saya terpaksa melupakan saingan Liga Hoki Malaysia musim depan, namun saya berjanji akan memanfaatkan sebaik mungkin tempoh itu bagi membolehkan lebih ramai pemain Malaysia ke Eropah.

“Setakat ini saya sudah menghubungi bekas ketua jurulatih hoki dalam dewan Belanda, Robin Rosh untuk bertemunya bagi mencari ‘lubang’ buat pemain Malaysia dengan keutamaan diberikan kepada pemain UniKL,” katanya.

Siapa sangka, sekadar suka-suka menimba pengalaman di Eropah sejak 2006 bermula dengan kelab Munchen Gladbach ketika itu di bawah kendalian Robin Rosh, secara tak langsung menyaksikan Selvaraju kini membina rangkaian dengan kelab-kelab di sana.

Malah, dengan bantuannya menyaksikan seramai tujuh pemain wanita negara kini sedang beraksi di liga Itali, Jerman dan Scotland dengan yang terbaru bekas pemain Projek 2016, Khaliq Hamirin akan menyertainya di Pistoia.

“Saya lakukan semua ini kerana mahu membantu hoki Malaysia. Memang menjadi cita-cita saya untuk melihat pemain Malaysia beraksi di liga Belanda, namun apapun Datuk Amir Azhar (presiden hoki UniKL) wajar dipuji kerana beliau begitu membantu dalam memastikan semua ini menjadi kenyataan,” tambah Selvaraju.

Sebagai rekod, beberapa pemain negara pernah mendapat tempat beraksi di Liga Belanda, namun bukannya untuk pasukan divisyen utama antaranya adalah Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil, Norhizzat Sumantri dan Muhammad Noor Faeez Ibrahim.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 11:21pm
d