arena

TFC senyum lebar

Oleh Nik Sukry Ramli

MARAN: FELDA United gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 di tangan pasukan Terengganu FC (TFC) dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, sebentar tadi.

Walaupun bermula garang dengan percubaan daripada Muhd Danial Amier Norhisham pada minit ke-4 menggegar palang, FELDA United gagal menahan asakan pelawat yang memperoleh gol pertama pada minit ke-9, hasil jaringan cantik Nasrullah Haniff Johan.

Skuad bimbingan B Satiananthan cuba memberikan tekanan kepada TFC, namun sekali lagi dikecewakan apabila rembatan Muhammad Zahril Azri Zabri pada minit ke-10 terkena tiang gol.

Aksi perlawanan semakin panas apabila beberapa terjahan keras oleh pemain kedua-dua pasukan menyaksikan dua pemain TFC, Chanthacheary Bin dan Nasrullah dilayangkan kad kuning.

Bersambung babak kedua, The Fighters memperkemaskan rentak dan mengasak jentera pertahanan TFC yang diketuai Adib Aizuddin Ab Latif.

Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila FELDA United memperoleh gol penyamaan pada minit ke-58 melalui pemain import mereka, Gilberto Valdenesio Fortunato.

Pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim membuat perubahan taktikal dengan mengeluarkan Shahrul Aizad Zulkufli dan Ashari Samsudin dan memasukkan Mohd Faiz Mohd Nasir dan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-61 dan 66.

Hasilnya, mereka memperoleh sepakan penalti apabila rembatan Tchetche Hermann Brice Kipre terkena tangan pertahanan FELDA United, Thiago Junio De Aquino pada minit ke-80.

Sepakan penalti itu disempurnakan pemain import TFC, Lee Andrew Tuck sekali gus mempunyai kelebihan menjelang aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, minggu depan.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 11:52pm
d