arena

Sarri 'serabut' pilih penyerang

Oleh AFP

LONDON: Bos Chelsea, Maurizio Sarri berdepan situasi sukar apabila terpaksa membuat keputusan untuk memilih, sama ada Alvaro Morata atau Olivier Giroud sebagai percaturan mengemudi serangan berdepan West Ham, esok.

Kelab berpangkalan di Stamford Bridge itu berada di kemuncak carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas lima kemenangan, tetapi mereka belum cukup selesa kerana masih perlu menempuh jadual perlawanan yang padat dan panjang pada musim ini.

West Ham juga bernula baik di awal musim dan kemenangan ke atas Everton meningkatkan semangat pemain yang dijangka akan mampu mengekalkan momentum itu dan pada musim lalu, mereka meraih empat mata dalam dua pertembungan dengan Chelsea. 

Tonggak dari Belgium, Eden Hazard muncul sebagai pemain bintang buat Chelsea untuk musim ini, meledak hatrik ketika menang 4-1 ke atas Cardiff minggu lalu dan berada di landasan tepat merebut anugerah Kasut Emas.

Namun, siapa yang bakal menjadi pilihan Sarri dalam aksi di Stadium London nanti?. 

Sehingga minggu lalu, Morata, 25, mendapat perhatian jurulatih ketika Giroud – pemenang Piala Dunia bersama Perancis dan memiliki kelebihan fizikal yang kuat berada di bangku simpanan.

Namun, Giroud diberi peluang berdepan Cardiff dan Hazard tanpa berselindung mengakui lebih gemar bersamanya selepas pemain Perancis itu melakukan dua bantuan gol untuknya.

“Olivier adalah pemain yang menjadi sasaran utama, mungkin yang terbaik di dunia. Saya fikir begitu,” kata Hazard yang menjelaskan siapa yang menjadi pilihannya dalam kesebelasan utama Chelsea. 

“Apabila dia mendapat bola, dia boleh mengawalnya untuk tempoh agak lama dan kami boleh datang lebih dekat kepadanya. Jadi, bagi kami, ia menjadi lebih mudah apabila beraksi dengannya.

“Apabila Alvaro (Morata) beraksi, ia berubah sepenuhnya. Dia pemain berbeza berbanding Olivier, namun kedua-duanya mempunyai kualiti yang bagus, jadi saya gembira kerana kami mempunyai penyerang hebat dalam pasukan,”

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 8:06am
d