arena

'Ini semua salah padang tiruan...'

Oleh Nik Sukry Ramli

MARAN: Ketika banyak pihak beranggapan FELDA United memilik kelebihan beraksi di laman sendiri yang menggunakan rumput tiruan, lain pula pandangan pengendali pasukan yang menyalahkan faktor padang sebagai punca tewas.

Dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia malam tadi, FELDA United gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Terengganu FC (TFC).

Gol pelawat dijaringkan Nasrullah Haniff Johan dan Lee Andrew Tuck (TFC), manakala Gilberto Valdenesio Fortunato merapatkan jurang jaringan untuk FELDA United.

Jurulatih FELDA United, B Sathiananthan mengakui, permukaan padang rumput tiruan masih menjadi antara faktor menghalang anak buahnya mempamerkan aksi terbaik mereka.

"Benda ini (padang tiruan) sudah banyak kali saya suarakan. Kita tidak dapat bermain dengan baik di tempat sendiri berbanding di tempat lawan kerana faktor padang.

"Ada beberapa pemain kami turut mengalami kecederaan dalam aksi malam ini (malam tadi). Saya tidak pasti (tahap kecederaan) serius atau tidak, tetapi ia akan menjejaskan sedikit persiapan FELDA United yang akan ke Terengganu minggu depan.

"Mereka (pemain) juga selalu hilang fokus dan ini antara perkara yang perlu diberi perhatian. Kami akan perbaiki semua masalah ini sebelum ke sana," katanya.

TFC juga kehilangan pemain akibat kecederaan yang menyaksikan W Ahmad Amirzafran W Nadris terpaksa dikeluarkan selepas hanya beraksi tujuh minit di babak pertama.

FELDA - juara Liga Perdana 2018 itu akan bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu pada 28 September ini untuk mengharungi aksi pusingan kedua.

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 11:59am
d