arena

'Cepat sembuh wira negara!'

Oleh Helmi Talkah

 

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa bersedia untuk memberi sebarang sokongan kepada jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang disahkan menghidap kanser hidung tahap awal.

Katanya, beliau sendiri mengikuti perkembangan kesihatan bekas pemain nombor satu dunia itu sejak peringkat awal lagi iaitu sebelum Chong Wei bertolak ke Taiwan bagi menjalani rawatan.

"Saya mengambil maklum mengenai apa yang berlaku ke atas Chong Wei. Saya sudah mengikuti perkembangan kesihatan Chong Wei sejak peringkat awal sebelum dia bertolak ke Taiwan lagi sehinggalah khabar berita yang terbaharu.

"KBS sentiasa bersedia untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada Chong Wei iaitu ikon dan wira rakyat Malaysia," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.

Syed Saddiq berkata beliau juga sudah memaklumkan mengenai perkembangan itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali atas kehendak Chong Wei.

"Saya memohon semua pihak untuk menghormati dan memberikan privasi kepada Chong Wei dan ahli keluarganya. Sokongan moral dan doa kita semua akan sentiasa mengiringi perjuangan Chong Wei. Semoga cepat sembuh wira negara," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 6:43pm
d