arena

'Sukan pupuk integrasi nasional'

Oleh Shamsul Kamal Amarudin dan Zahratulhayat Mat Ariff

 

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata sukan adalah satu wadah yang boleh digunakan untuk memupuk integrasi nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang menjadi asas penting bagi masa depan negara. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa sama, sukan juga alat yang berkesan untuk membentuk disiplin, keyakinan, kecergasan tubuh dan jati diri seseorang, seterusnya melahirkan anggota masyarakat yang sihat fizikal dan mental sekali gus dapat memberikan sumbangan berkesan kepada pembangunan negara.   

"Dalam era Malaysia Baru ini dan dalam proses kita melangkah ke hadapan dalam pembinaan negara, cabaran yang dihadapi bukan sedikit dan muncul dalam pelbagai bentuk.  

"Di antara cabaran yang dihadapi adalah untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang berkongsi idealisme, nilai hidup positif, semangat dan wawasan yang juga prasyarat bagi pembentukan sebuah negara yang bermaruah, maju dan progresif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perasmian penutup Sukan Malaysia Ke-19  (SUKMA XIX) 2018 di Stadium Perak, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu; isterinya, Dr Nomie Ashikin Mohamed Radzi; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; timbalannya, Steven Sim Chee Keong; anggota-anggota EXCO kerajaan negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Mohd Gazali Jalal dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohammad Norza Zakaria.

Dr Wan Azizah berkata, sukan juga adalah antara kaedah yang baik dan menyeronokkan dalam mencegah penyakit tidak berjangkit (NCDs) yang berada pada tahap sangat membimbangkan di negara ini.

Katanya, menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, sebanyak 73 peratus daripada kematian di Malaysia disebabkan oleh NCDs dengan separuh daripadanya adalah kematian berkaitan penyakit kardiovaskular.

Beliau berkata, data kesihatan menunjukkan sekitar 98 peratus daripada rakyat Malaysia mengalami risiko sekurang-kurangnya satu penyakit NCD.

"Antara sebab utama berlakunya NCDs adalah gaya hidup rakyat Malaysia. NCDs dapat dielakkan dengan pengamalan gaya hidup yang aktif dan salah satu cara yang baik dan menyeronokkan bagi tujuan ini adalah melalui sukan," katanya. 

Dr Wan Azizah turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kerajaan Perak di atas kejayaan menganjurkan SUKMA XIX dengan mencatatkan sejarah tersendiri apabila 427 acara daripada 29 jenis sukan dipertandingkan di 39 lokasi pertandingan dengan 18 lokasi penginapan atlet di kesemua 12 daerah negeri ini. 

Beliau berkata, pendekatan diambil kerajaan negeri itu memberi peluang kepada seluruh rakyat Perak termasuk di luar bandar untuk menyaksikan acara yang dipertandingkan di samping memperkenalkan tarikan pelancongan kepada mereka dari luar negeri itu. 

Katanya, Perak kini boleh berbangga kerana memiliki kemudahan sukan bertaraf antarabangsa untuk kejohanan itu seperti Pusat Akuatik Tuanku Zara, Kompleks Menembak Darul Ridzuan dan Stadium Ragbi yang pertama di Malaysia. 

Dr Wan Azizah berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus memberi sokongan penuh kepada penganjuran SUKMA oleh negeri-negeri secara bergilir sama ada dalam bentuk bantuan dana mahupun bantuan terus daripada agensi berkaitan kepada negeri yang menjadi tuan rumah. 

"SUKMA dekat dengan hati saya kerana acara sukan ini dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1983, iaitu suami saya sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Rasional saudara Anwar ketika itu adalah penganjuran sukan kebangsaan dapat menambah baik kualiti atlet serta melahirkan atlet baharu dan juga menggalak lebih ramai remaja untuk menceburi bidang kesukanan di peringkat negeri.

"Beliau percaya acara sukan kebangsaan ini juga dapat menambah baik kepakaran pegawai terbabit dalam bidang kesukanan serta menggalakkan pembinaan dan penambahbaikan fasiliti sukan yang sedia ada dan baharu.

"Malaysia adalah sebuah negara yang kecil, bagaimanapun berbanding dengan sesetengah negara lain, prasarana dan fasiliti sukan yang dibangunkan di negara ini adalah antara yang terbaik dan bertaraf antarabangsa," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 11:01pm
d