arena

Rodriguez terus pamer bisa 

Oleh AFP

BERLIN: Penggempur Bayern Munich, James Rodriguez membuktikan dia masih berbisa dan memang diperlukan di dalam pasukan apabila meledak jaringan ketika mengenepikan cabaran Schalke, 2-0 dalam saingan Bundesliga, awal pagi tadi.

Ia kemenangan keempat berturut-turut juara bertahan liga Jerman itu untuk kekal memimpin carta liga dengan mengumpul 12 mata.  

Rodriguez yang juga penyerang skuad kebangsaan Colombia meletakkan kelabnya di depan seawal  minit kelapan, selepas bijak melepasi pertahanan, Sebastian Rudy sebelum menyambut hantaran Joshua Kimmich dan melepaskan tandukan padu ke gawang tuan rumah.

Pelawat terus menambah derita penyokong tuan rumah di Stadium Veltins-Arena itu dengan gol kedua menerusi tendangan penalti, yang disudahkan Robert Lewandowski pada minit ke-64. 

“Kami memulakan perlawanan dengan baik dan menutup aksi juga dengan baik. Kami berhak meraih keputusan ini dan pulang dengan tiga mata,” kata bekas tonggak Schalke yang kini beraksi bersama Bayern, Leon Goretzka.

Sementara itu, pesaing terdekat Hertha Berlin terus memberi tekanan kepada pendahulu itu apabila turut melakar kemenangan 4-2 ke atas Borussia Moenchengladbach. 

Walaupun beraksi di halaman sendiri, Hertha Berlin dikejutkan gol awal pelawat Thorgan Hazard pada minit ke-29 yang juga jaringan ketujuhnya dalam 10 pertemuan kedua-dua pasukan itu.

Kelebihan itu tidak kekal lama apabila tuan rumah bangkit dengan tiga gol menerusi Ibisevic pada (minit ke-31, ke-63) dan Valentino Lazaro (minir ke-34) sebelum pelawat merapatkan kedudukan kepada 3-2 hasil sentuhan Alassane Plea di minit ke-67.

Ketika gol itu menyemarakkan semangat pemain Moenchengladbach memburu gol ketiga, Ondrej Duda muncul pemusnah apabila menjaringkan gol keempat tuan rumah yang menyaksikan mereka kekal berada di tangga kedua liga dengan 10 mata.

 

 

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 7:54am
d