arena

Terengganu dedah rahsia kayuhan emas

Oleh Jumiati Rosly

IPOH: Program ‘booster’ yang diadaptasi dari negara Eropah menjadi rahsia kejayaan skuad berbasikal Terengganu memenangi 14 pingat emas, 13 perak dan empat gangsa pada edisi ke-19 Sukan Malaysia (SUKMA) Perak berakhir semalam.

Ketua jurulatih berbasikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, pasukan Terengganu adalah skuad berbasikal pertama di negara ini yang menggunakan program itu yang bercirikan pendekatan sains sukan.

“Program ini saya dapat dalam lima bulan sebelum SUKMA, namun program ini tak boleh dilakukan dalam tempoh berpanjangan. Hanya untuk persiapan jangka masa pendek.

“Program ini memberikan sistem itu membentuk otot yang besar dengan intensiti tinggi. Daripada segi latihan pula, kita berlatih 110 peratus,” katanya.

Syed Mohd Hussaini berkata program itu mempunyai risiko kecederaan terutama di bahagian lutut, pinggang dan hamstring jika tidak diguna pakai dengan teknik yang betul.

“Setakat ini kami sahaja yang menggunakan program ini di Malaysia. Program ini ternyata membantu pelumba kami terutama sekali dalam program ujian masa individu dan berpasukan serta acara individu di lebuh raya dan juga trek,” katanya.

Terengganu mendominasi sukan berbasikal apabila jauh meninggalkan kontinjen lain dengan Selangor yang berada di tempat kedua memperoleh tiga emas, tiga perak dan lima gangsa.

Kejayaan skuad berbasikal Terengganu berjaya memastikan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan pungutan pingat dengan 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Antara pelumba Terengganu yang paling menyerlah adalah Nur Aisyah Mohamad Zubir yang mengumpul tujuh emas dalam kesemua acara berbasikal yang disertainya bagi membaiki pencapaian lima emas yang dimenanginya pada temasya di Sarawak.

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 2:11pm
d