arena

Chelsea sekadar pungut satu mata

CHELSEA mencicirkan mata pertama mereka dalam musim ini apabila West Ham berjaya mengekang skuad kendalian Maurizio Sarri untuk keputusan seri 0-0 di Stadium London, malam ini.

Skuad The Blues sudah menang semua lima perlawanan Liga Perdana sebelum ini dan mengejar Liverpool yang sekali lagi menang semalam bagi menjadikan enam daripada enam perlawanan.

Pelawat mendominasi kawalan bola di laman pencabar dari London itu tetapi gagal mencipta banyak peluang dan terpaksa bertahan dengan ancaman berterusan West Ham selepas rehat babak pertama.

Olivier Giroud memenangi pertarungan dengan Alvaro Morata bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama buat Chelsea, memberikannya penampilan kedua berturut-turut dalam Liga Perdana.

Bagaimanapun Marko Arnautovic, penjaring terbanyak West Ham musim ini, tidak bermain kerana gagal pulih daripada kecederaan dialami di Everton minggu lalu.

Chelsea menguasai 70 peratus kawalan bola pada babak pertama tetapi West Ham turut berbahaya apabila melakukan serangan balas pantas dengan Michail Antonio terbukti banyak membantu. - AFP

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 11:19pm
d