arena

Akhirnya selepas lima tahun

Oleh AFP

ATLANTA: Tiger Woods melakar kemenangan pertama selepas lima tahun apabila memenangi kejohanan Tour Championship dengan kelebihan dua pukulan sekali gus mencetuskan fenomena kerana baru saja melakukan penampilan semula selepas berehat selama dua tahun.

Bintang berusia 42 tahun dan pemenang 14 kejuaraan utama itu mencatat satu atas par 71 di lapangan East Lake Golf di Atlanta sekali gus kemenangan ke-80 sepanjang kariernya.

Woods yang menamatkan aksi keseluruhan dengan 11 bawah par 269, menerima tepukan gemuruh daripada penyokongnya selepas menamatkan aksi dengan memasukkan bola di lubang terakhir.

Woods mengakui dia agak beremosi ketika beraksi di lubang ke-18.

“Saya cuba menahan daripada menangis ketika menuju ke lubang terakhir.

“Saya sering menyatakan kepada diri sendiri bahawa saya masih mampu melakukan perkara ini. Apabila bola berada di atas green saya tahu saya sudah dapat selesaikan tugas dengan baik.

Ia adalah kemenangan cukup bermakna selepas pada satu ketika Woods sendiri mengakui dia mungkin tidak akan beraksi lagi.

“Selepas kembali semula, saya memperoleh semula sentuhan yang dimahukan dan saya bertambah yakin untuk mencipta kemenangan,” katanya.

Woods yang kembali beraksi Januari lalu selepas berehat selama dua tahun berikutan kecederaan belakang, mempunyai kelebihan tiga pukulan sebelum beraksi di pusingan terakhir.

Kejayaan meraih birdie pada lubang pertama meluaskan lagi jarak pendahulu Woods sekali gus meningkatkan keyakinannya.

 

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 8:22am
d