arena

Pertahan aksi 'kung fu' Luqman

Oleh Syafiq Aznan

PENGURUSAN Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) mempertahankan tindakan ‘ala kung fu’ penyerang skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin sehingga dilayangkan kad merah pada aksi bertemu Thailand, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Safirul Azli Abu Bakar menegaskan tindakan penyerang muda itu yang mengangkat kaki begitu tinggi untuk mendapatkan bola disifatkan lebih kepada reaksi biasa sebagai seorang pemain.

“Saya yakin Luqman tiada niat untuk mencederakan pemain lawan. Dia berpusing dan melihat bola di udara sebelum dia mengangkat kaki tanpa melihat situasi lawan.

“Ini reaksi biasa seorang pemain lebih-lebih lagi lagi pemain seperti Luqman yang suka bola berada di kaki. Cuma keputusan dia ketika itu dalam situasi sedemikian adalah membahayakan pemain lawan.

“Kita melihat situasi sedemikian banyak kali tetapi hanya kad kuning yang dilayangkan. Tetapi pengadil membuat keputusan itu, jadi suka ataupun tidak, kita kena akur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada aksi kedua Kumpulan A Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 bertemu Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, tindakan Luqman yang melakukan aksi ‘ala kung fu’ mengundang padah apabila dia dilayangkan kad merah selepas Malaysia berjaya mengikat kedudukan kepada 2-2.

Situasi terbabit nyata menjejaskan kebangkitan Malaysia dan kesukaran beraksi dengan 10 pemain menyaksikan skuad Gajah Perang itu berjaya meraih tiga mata pertama menerusi kemenangan 4-2 ke atas pasukan negara.

Ini adalah kad merah kedua yang dilayangkan kepada pemain negara selepas penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel turut menerima kad merah pada aksi pertama ketika bertemu Tajikistan atas tindakan sama.

Mengulas mengenai insiden dua kad merah terbabit, Safirul optimis situasi terbabit tidak akan ‘menakutkan’ pemain negara untuk terus memperaga corak permainan agresif dan melakukan asakan kepada pemain lawan.

“Ini tugas jurulatih supaya pemain sentiasa berada dalam emosi yang terbaik ketika menghadapi perlawanan. Risiko sentiasa ada di mana-mana terutamanya di dalam padang. 

“Jika kita tidak mengambil risiko ketika bermain maka kita tidak akan mendapat keputusan yang dimahukan. Kita mampu untuk menewaskan Jepun pada aksi terakhir.

“Namun, kita perlu menampilkan kemampuan sebenar tanpa ada rasa takut pada aksi di peringkat tertinggi seperti ini. Musuh kita ialah diri kita sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 3:56pm
d