arena

Fatehah masih berbisa

Oleh Azlan Muhammad Zain

RATU trek negara, Fatehah Mustapa membuktikan dirinya masih berbisa apabila meraih pingat perak dan gangsa dalam saingan Piala Trek Asia India yang berakhir semalam.

Pada aksi final keirin di Velodrom Indira Gandhi malam tadi, dia meraih gangsa apabila menduduki tempat ketiga dengan Jessica Hoi Yan dari Hong Kong mengungguli perlumbaan manakala pelumba Indonesia, Crismonita Dwiputri kedua.

Terdahulu, pada aksi pecut individu kelmarin, pelumba kelahiran Terengganu itu terpaksa akur meraih perak apabila tewas kepada Jessica di pentas final.

Bagi jurulatih trek negara, Junaidi Mohd Nasir, pencapaian Fatehah menaiki podium dalam dua perlumbaan yang disertainya adalah petanda positif untuk dia kembali bangkit selepas digugurkan dari Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 bulan lalu.

"Saya melihat ia sebagai petanda yang bagus kepada dirinya dan dia bakal menghadapi dua lagi siri perlumbaan yang mencabar," jelasnya.

Tambah Junaidi yang mengiringi Fatehah ke New Delhi, prestasi pelumba berpengalaman negara itu masih belum mencapai tahap 100 peratus dan optimis dia mampu memperagakan kayuhan lebih mantap selepas ini.

Fatehah yang digugurkan ke Sukan Asia 2018 oleh ketua jurulatih negara, John Beasley dengan alasan kemerosotan prestasi, dijadualkan menyertai Piala Trek Asia Thailand dan Kejohanan Grand Prix Trek Asia Tenggara bulan depan.

 

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 5:02pm
d